View: 946|Reply: 0
|
Bulan jihad & kemenangan
[Copy link]
|
|
Bulan jihad & kemenangan
UMAT Islam di Palestin memerlukan pembelaan, sokongan dan doa daripada umat Islam seluruh dunia supaya mereka memperoleh kembali bumi Palestin. FOTO AFP
Bulan Ramadan bukan hanya sekadar sebagai bulan penuh keberkatan dan kerahmatan bagi Muslim yang bertakwa, malah Ramadan juga merupakan bulan penuh kemuliaan yang telah mencatatkan kejayaan dan kemenangan dalam lipatan sejarah Islam. Detik-detik gemilang kemenangan generasi Islam satu ketika dahulu wajar dijadikan bahan renungan dan iktibar umat Islam masa kini dalam usaha menobatkan kembali maruah umat Islam sebagai umat terbaik dalam segala lapangan hidup sejagat.
Dalam perkataan lain, bulan Ramadan tidak sekadar menyaksikan umat Islam berjihad melawan kehendak hawa nafsu dan godaan syaitan demi meraih kesempurnaan ibadat dan keredaan Ilahi, bahkan Ramadan juga adalah bulan yang sarat dengan perjuangan jihad menentang musuh-musuh Islam demi mempertahankan kesucian Islam dan menegakkan agama Allah di atas muka bumi yang terbentang luas ini.
Berdasarkan kronologi sejarah Islam, tanggal 17 Ramadan tahun 2 Hijrah tercetus perang Badar al-Kubra yang merupakan peperangan yang pertama dan perdana yang dihadapi oleh Rasulullah SAW bersama umat Islam menentang kaum musyrikin Quraisy. Menurut Ibnu Hisyam dalam kitabnya Sirah al-Nabawiyyah menyatakan peperangan Badar al-Kubra merupakan kemenangan perdana yang menentukan kedudukan dan kekuatan umat Islam dalam mendepani ancaman kaum musyrikin Quraisy. Walaupun bilangan tentera Islam seramai 313 orang dengan kelengkapan serba kekurangan yang tidak seimbang dengan bilangan tentera musyrikin yang mencecah angka 1000 orang berserta kelengkapan perang yang canggih pada waktu itu, namun itu tidak melunturkan semangat juang dan jihad tentera Islam untuk terus mara menghadapi gerombolan tentera musyrikin. Berbekalkan keimanan yang penuh kudus ke hadrat Ilahi dan roh perjuangan jihad yang kental, akhirnya Allah membantu secara lansung dalam peperangan tersebut dengan mengutuskan sepasukan malaikat bagi meneguhkan kedudukan tentera Islam dan seterusnya mengalahkan tentera musyrikin. Kesemua detik-detik penuh cemas, sengit dan hebat dalam peperangan Badar al-Kubra itu dirakamkan Allah secara mendalam dalam surah al-Anfal ayat 7 hingga 19 sebagai peringatan kepada umat Islam dalam mempertahankan kesucian Islam.
Dalam peperangan Badar al-Kubra tersebut, Rasulullah SAW tidak dapat menyembunyikan perasaan bimbangnya kalau-kalau pertempuran yang sengit ini akan melenyapkan umat Islam di bumi Madinah ini. Lantas Baginda pun memanjatkan doa pengharapan ke hadrat Ilahi yang Maha Berkuasa dengan berkata: "Ya Allah, Ya Tuhanku! Jika pasukan sekarang ini binasa, nescaya tidak ada lagi orang yang akan beribadat kepada-Mu." Doa ini menggambarkan betapa manusia selamanya sentiasa berhajat kepada Allah yang Maha Berkuasa dalam melangsungkan perjalanan hidup menuju keredaan Ilahi dan kebahagiaan hidup di akhirat kelak. Natijahnya, kemenangan berpihak kepada tentera Islam, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan umat Islam dan melebarkan sayap Islam ke merata Tanah Arab.
Pada 21 Ramadan tahun 8 Hijrah pula mencatatkan pembukaan Makkah. Baginda Rasulullah SAW berangkat dari Madinah pada 10 Ramadan bersama 10,000 pasukan tentera Islam dalam keadaan berpuasa. Setelah penaklukan kota Makkah secara aman tanpa sebarang pertumpahan darah, akhirnya Rasulullah SAW memberikan pengampunan terbuka kepada semua warga musyrikin di Makkah yang meyaksikan kemasukan beramai-ramai ke dalam pangkuan Islam. Menurut Ibnu Ishaq, peristiwa pembukaan kota suci Makkah berlaku pada 10 malam terakhir bulan Ramadan yang mulia. Kisah bersejarah ini juga dirakamkan Allah dalam surah al-Fath dan al-Nasr untuk diambil pengajaran oleh umat Islam.
Pada bulan Ramadan juga tahun 10 Hijrah, Rasulullah SAW pernah mengutuskan sepasukan tentera Islam yang diketuai oleh Saidina Ali bin Abi Talib ke Yaman dengan membawa bersama perutusan surat Rasulullah SAW. Terdapat satu kabilah yang berpengaruh di sana dengan tanpa paksaan terus menyahut seruan Rasulullah SAW dan menerima Islam sebagai pegangan hidup mereka pada saat itu juga.
Pada bulan Ramadan tahun 92 Hijrah pula, panglima tentera Islam iaitu Tariq bin Ziyad memimpin segerombolan armadanya yang berjumlah 7,000 orang menyeberangi selat Gibraltar yang juga dikenali Jabal Tariq dengan matlamat menakluki Andalus, Sepanyol. Setelah mendarat dengan selamat di satu wilayah Sepanyol, panglima Tariq berdiri di atas sebuah batu karang bagi menyampaikan amanatnya sambil memerintahkan supaya kapal-kapal yang membawa mereka sepasukan dari Afrika dibakar sahaja. Kehairanan sebahagian tentera Islam mengenai perintahnya itu dijawab dengan tegasnya: "Kita datang ke sini, tidak untuk kembali lagi. Kita berada di sini hanya mempunyai dua pilihan iaitu sama ada kita menakluki negeri ini, menetap di sini dan menyebarkan Islam atau pun kita semua akan binasa." Ucapan panglima Tariq tersebut ada persamaan dengan doa yang pernah diucapkan oleh Rasulullah semasa peperangan Badar al-Kubra. Akhirnya, pasukan tentera Sepanyol yang berbekalkan kekuatan tentera berjumlah 100,000 orang tumbang di tangan pasukan tentera Islam pimpinan Panglima Tariq yang hanya seramai 7,000 orang sahaja di samping bantuan ketenteraan yang menyusul kemudian yang berjumlah 5,000 orang.
Seterusnya, bulan Ramadan tahun 584 Hijrah merupakan tarikh keramat yang amat bersejarah dalam kalendar Islam apabila Solahuddin al-Ayubi bersama angkatan tenteranya berjaya meraih kemenangan besar ke atas tentera salib. Tentera Islam juga menawan beberapa daerah yang sebelum ini dikuasai dan diduduki oleh kaum Kristian. Di samping mencatatkan kemenangan besar menewaskan tentera salib, Solahuddin al-Ayubi juga berjaya mengembalikan kota Baitul Maqdis dan bumi Palestin kepada pangkuan umat Islam.
Begitulah antara rentetan kejayaan demi kejayaan yang dicapai oleh umat Islam dalam bulan Ramadan. Ini bermakna ibadat puasa dan amalan sunat pada bulan Ramadan tidak menghalang umat Islam untuk mencipta sejarah gemilang bagi memartabatkan kembali kedudukan umat Islam di persada dunia. Justeru, bulan Ramadan inilah masanya yang sesuai untuk umat Islam mengorak langkah ke hadapan dengan berbekalkan roh jihad yang padu, keyakinan iman yang mantap dan beristiqamah dalam melaksanakan amalan soleh.
Kota Baitul Maqdis di Palestin kini sedang menanti kemunculan personaliti terbilang seumpama Umar al-Khattab dan Solahuddin al-Ayubi bagi membebaskannya daripada cengkaman regim Zionis Yahudi yang zalim itu. Umat Islam di Palestin pula memerlukan pembelaan, sokongan dan doa pengharapan daripada umat Islam seluruh dunia supaya mereka memperolehi kembali hak mereka di bumi Palestin.
Oleh yang demikian, marilah sama-sama kita menginsafi dan bermuhasabah diri dalam bulan Ramadan ini supaya sinar Ramadan yang sedang menyuluh ini benar-benar menyucikan hati kita, menghiaskan peribadi kita dengan akhlak terpuji dan mendekatkan kita dengan amalan-amalan soleh. Tidak ketinggalan juga, jihad pada jalan Allah tetap dijulang bagi mengekalkan ketuanan Islam di bumi Allah ini.
Penulis Dekan Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)
Sumber:https://www.hmetro.com.my/addin/ ... an-jihad-kemenangan
|
|
|
|
|
|
|
| |
|