|
Sri Lanka tutup sekolah akibat krisis bekalan bahan api
https://www.kosmo.com.my/2022/06 ... -bekalan-bahan-api/
Oleh KOSMO!
20 Jun 2022, 10:00 am
Penduduk beratur untuk membeli minyak tanah bagi kegunaan persendirian di Colombo, Jumaat lalu. - AFP
COLOMBO – Kerajaan Sri Lanka mengumumkan penutupan sekolah-sekolah di Colombo bagi sepanjang minggu ini, ketika negara itu bergelut dengan krisis kekurangan bekalan bahan api yang telah menyebabkan pengangkutan awam hampir tidak dapat beroperasi.
Menurut laporan akhbar Arab News, stok minyak petrol dan diesel negara itu dijangka habis dalam masa beberapa hari.
Melihatkan krisis ekonomi yang semakin buruk itu, Kementerian Pendidikan kelmarin mengumumkan bahawa sekolah-sekolah di ibu negara akan ditutup selama sekurang-kurangnya seminggu.
“Kementerian membuat keputusan bahawa sekolah-sekolah kerajaan dan swasta yang diluluskan kerajaan di bandar raya Colombo akan tutup minggu ini,” demikian menurut kenyataan dikeluarkan kementerian tersebut.
Ketika sesi persekolahan ditutup, pembelajaran secara online akan dilaksanakan buat sementara waktu sebelum pihak-pihak berkepentingan sektor pendidikan dijadual bertemu Sabtu depan bagi membuat keputusan mengenai penyambungan aktiviti akademik.
Sekolah-sekolah di luar Colombo bagaimanapun akan beroperasi seperti biasa, di mana masalah berkaitan pengangkutan tidak menjadi isu utama.
Pengumuman tersebut disambut dengan rasa bimbang dalam kalangan guru disebabkan terdapat antara pelajar yang tidak dapat mengikuti kaedah pembelajaran secara maya.
“Kerajaan bercakap mengenai pembelajaran secara online. Namun, berapa ramai pelajar mampu untuk mengikutinya?
“Telefon bimbit dan komputer riba amat mahal pada masa ini. Ini membuatkan mereka tidak mampu mengikuti pembelajaran,” kata seorang guru, Mohammed Nizar Mohamed.
Jumaat lalu, kerajaan Sri Lanka mengumumkan penutupan pejabat-pejabat kerajaan di seluruh negara disebabkan masalah kekurangan bekalan bahan api.
Awal minggu lalu pula, kakitangan sektor awam turut dibenarkan bekerja empat hari seminggu sebagai cara untuk menghadapi krisis tersebut dengan kerajaan menyeru mereka untuk bercucuk tanam. – Agensi
|
|