Polis menahan seorang wanita yang bersikap perkauman apabila menyembur lada terhadap empat wanita Asia di Manhattan.
Madeline Barker, 47, ditangkap selepas aksinya mengeluarkan kata-kata berbaur perkauman seperti ‘balik semula ke negara asal kamu’ dan ‘kamu tidak layak berada di sini’ berjaya dirakamkan sebuah video sehingga tular dalam media sosial.
Kredit foto: Daily Mail
Insiden di kawasan awam di Meatpacking District itu mencetuskan pencarian wanita yang digelarkan sebagai ‘Karen’ oleh pengguna internet.
Polis mengesahkan suspek merupakan wanita berbaju merah jambu dan berkacamata semasa melakukan serangan tersebut.
Barker berasal dari Florida berdepan pertuduhan jenayah kebencian yang akan didakwa di Mahkamah Jenayah Manhattan.
Menerusi video itu, wanita tersebut kelihatan berbalah dengan empat wanita Asia dalam lingkungan umur 20-an.
Difahamkan, semasa kejadian kesemua mangsa sedang membelek bunga sebelum diserang suspek yang tiba-tiba mencari gaduh.
Kredit foto: New York Post/William Miller
Serangan keganasan anti-Asia tersebut menyebabkan seorang mangsa ‘tidak boleh membuka matanya’.
“Saya rasa sangat sakit dan tak dapat buka mata sampai 30 minit,” luah seorang mangsa.
Seorang mangsa lain berkata, selepas diserang dia menerima mesej dari individu lain yang memberitahu suspek pernah membuat semburan lada kepada kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun.
Jenayah kebencian semakin meningkat sebanyak 96 peratus tahun lalu, di New York yang mendapat jolokan Big Apple dan seluruh Amerika Syarikat (AS).
Dilaporkan, 133 orang Asia di AS pernah mengalami pengalaman diskriminasi yang menakutkan dan berbahaya di kawasan bandar.
Sumber: Utusan |