|
KUALA LUMPUR: Golongan B40 disaran memanfaatkan saringan kesihatan percuma menerusi program Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40).
Ketua Pegawai Eksekutif ProtectHealth Corporation Sdn Bhd (ProtectHealth), Datuk Dr Anas Alam Faizli, berkata saringan kesihatan itu juga percuma kepada penerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR).
"Secara keseluruhan terdapat 5.9 juta penerima BPR layak untuk PeKa B40 dan mereka hanya perlu membawa kad pengenalan ke mana-mana lebih 3,000 klinik swasta yang berdaftar dengan ProtectHealth untuk mendapatkan saringan kesihatan percuma.
"Sebagai contoh, peralatan stent jantung berharga antara RM4,000-RM5,000 dan ia tiada subsidi di hospital kerajaan. Jadi, sekiranya perlu digantikan, PeKa B40 boleh bantu bayar," katanya menerusi twitter, hari ini.
Dr Anas Alam berkata, PeKA B40 mempunyai manfaat alat bantuan perubatan hingga RM20,000 untuk setiap individu. Malah, program itu menyediakan manfaat insentif melengkapkan rawatan kanser hingga RM1,000 kepada semua individu.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, sebelum ini dilaporkan berkata, masih ramai tidak memanfaatkan program PeKa B40 yang disediakan secara percuma kepada penerima bantuan sara hidup kerajaan terutama mereka yang berusia 40 tahun ke atas membabitkan ketua keluarga dan pasangan.
Beliau berkata, justeru Kementerian Kesihatan (KKM) merancang menetapkan satu bulan sebagai Bulan Pemeriksaan Kesihatan Malaysia (BPKM) dengan cadangan awal, ia diadakan pada Julai depan.
Dalam pada itu, Dr Anas Alam berkata, ProtectHealth akan mengadakan program saringan kesihatan percuma di Balai Raya Kampung Pengadang Buluh di Kuala Terengganu pada Sabtu ini.
Katanya, penerima BPR berdekatan boleh mendapatkan saringan kesihatan percuma itu yang akan bermula dari jam 10 pagi hingga 2 petang.
"Sebarang pertanyaan boleh hubungi talian 09-617 3900 atau 011 5864 6500," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2022/04/942970/penerima-bpr-disaran-manfaat-program-peka-b40
|
|