CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 985|Reply: 0

Bolehkah Siang Ikan Hidup-Hidup? Ini Huraian & Penjelasan Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri

[Copy link]
Post time 4-12-2022 11:47 AM | Show all posts |Read mode


Bolehkah Siang Ikan Hidup-Hidup? Ini Huraian & Penjelasan Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Ikan merupakan haiwan yang tinggal di kawasan perairan sama ada air tawar ataupun masin. Jika anda menggemari masakan berasaskan ikan, anda sudah semestinya pernah membelinya di pasar.


Biasanya di pasar, ikan yang dijual adalah ikan yang sudah pun mati. Namun di sesetengah tempat, peniaga-peniaga turut menjual ikan hidup yang diletakkan dalam bekas berisi air.

Persoalannya, bolehkah kita menyiang ikan hidup-hidup? Dari kaca mata Islam, adakah perkara tersebut dibenarkan? Bagi menjawab persoalan tersebut, kami bawakan pandangan bekas Menteri Agama dan mantan Mufti Wilayah Persekutuan, Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri .

Semoga dengan penjelasan beliau dibawah, mampu merungkai persoalan yang bermain diminda kita semua.

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t. Saya ada satu soalan. Saya ada melihat satu video mengenai proses penyiangan ikan iaitu belut yang dilakukan ketika ia masih lagi hidup. Dalam video tersebut, pisau atau satu benda tajam akan menikam kepala belut sambil dilekatkan pada meja, lalu belut itu akan disiang dalam keadaan begitu yakni masih lagi bergerak-gerak seperti meronta-ronta. Kemudian, ia terus dipanggang. Soalannya, adakah dibenarkan buat begitu? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pertamanya, kami juga ada melihat dan meneliti video tersebut sebagaimana yang dinyatakan di atas.[1] Pada asasnya, sebagai umat Islam kita dituntut untuk berbuat baik kepada semua makhluk, tidak kira orang Islam atau orang bukan Islam, termasuklah haiwan mahupun tumbuh-tumbuhan. Firman Allah SWT:

إِنَّ اللَّـهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي الْقُرْبَىٰ وَيَنْهَىٰ عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنكَرِ وَالْبَغْيِ ۚ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Ia mengajar kamu (dengan suruhan dan laranganNya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhiNya.”




Menurut al-Sa‘di, berbuat baik itu adalah seperti seseorang memberi manfaat kepada orang lain dengan hartanya, tubuh badannya, ilmunya atau lain-lain perkara yang bermanfaat sehinggakan termasuk juga di dalamnya suruhan berbuat baik kepada haiwan ternakan yang dimakan atau selainnya — yakni haiwan yang tidak dimakan.

Selain itu, berbuat baik kepada haiwan termasuk dalam akhlak dan sikap yang baik. Terdapat sebuah hadith daripada riwayat Abu Hurairah, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ لاَ يَرْحَمُ لاَ يُرْحَمُ

Maksudnya: “Sesiapa yang tidak menyayangi maka dia tidak akan disayangi.”

Hadith ini menunjukkan supaya bersikap rahmat — yakni belas kasihan — sesama manusia, bahkan juga kepada haiwan. Tidak dapat dinafikan lagi bahawa ia adalah suatu sikap dan akhlak yang baik lagi terpuji. Sesungguhnya Allah SWT telah memuji rasul-Nya yang bersikap sedemikian melalui firman-Nya:

لَقَدْ جَاءَكُمْ رَسُولٌ مِّنْ أَنفُسِكُمْ عَزِيزٌ عَلَيْهِ مَا عَنِتُّمْ حَرِيصٌ عَلَيْكُم بِالْمُؤْمِنِينَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul daripada golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad SAW), yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat tamak (inginkan) kebaikan bagi kamu, (dan) dia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman.”

Manakala lawannya iaitu sikap keras hati yang merupakan hukuman Allah ke atas orang Yahudi tatkala mereka mencabuli perjanjian setia, sebagaimana firman Allah SWT:

فَبِمَا نَقْضِهِم مِّيثَاقَهُمْ لَعَنَّاهُمْ وَجَعَلْنَا قُلُوبَهُمْ قَاسِيَةً

Maksudnya: “Maka dengan sebab mereka mencabuli perjanjian setia mereka, Kami laknatkan mereka, dan Kami jadikan hati mereka keras membatu (tidak mahu menerima kebenaran).”

Oleh itu, rahmat — yakni bersikap kasih sayang dan mengasihi — itu merupakan kelebihan dan sifat yang baik, sedangkan keras hati itu pula ialah sifat yang buruk. Justeru, bersikap rahmat kepada haiwan, antaranya adalah dengan memberinya makan dan minum, mengubati lukanya, tidak membebankan haiwan tersebut di luar kemampuannya.



Begitu juga, kita tidak boleh sewenang-wenangnya membunuh haiwan melainkan dengan tujuan bagi mendapat manfaat daripadanya seperti untuk memakannya. Rasulullah SAW pernah bersabda:

ما من إنسانٍ قتلَ عُصفورًا فما فوقَها بغيرِ حقِّها إلّا سألَهُ اللَّهُ عزَّ وجلَّ عَنها قيلَ: يا رسولَ اللَّهِ ! وما حقُّها؟ قالَ : يذبحُها فيأكُلُها ولا يقطعُ رأسَها يرمي بِها

Maksudnya: “Tidaklah seseorang membunuh burung pipit dan yang lebih besar daripadanya (burung tersebut) tanpa hak melainkan Allah SWT akan bertanya mengenainya. Ditanya: ‘Wahai Rasulullah! Apakah haknya?’ Baginda menjawab: ‘Haknya adalah menyembelihnya, kemudian memakannya. Dan tidak memotong kepalanya (membunuhnya), kemudian membuangnya.’”

Bukan itu sahaja, bahkan ketika hendak menyembelih haiwan pun kita disuruh untuk berbuat baik kepada haiwan itu dengan mematikannya dengan cara yang terbaik iaitu dengan menggunakan pisau yang tajam dan tidak memperlihatkannya ketika disembelih kepada haiwan yang lain. Rasulullah SAW ada bersabda mengenai perkara ini:

إنَّ اللَّهَ كَتَبَ الإحْسانَ على كُلِّ شيءٍ، فَإِذا قَتَلْتُمْ فأحْسِنُوا القِتْلَةَ، وإذا ذَبَحْتُمْ فأحْسِنُوا الذَّبْحَ، وَلْيُحِدَّ أَحَدُكُمْ شَفْرَتَهُ، فَلْيُرِحْ ذَبِيحَتَهُ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah telah mewajibkan berbuat baik kepada setiap sesuatu. Apabila kamu semua hendak mematikan (haiwan), matikanlah dengan cara yang terbaik. Apabila hendak menyembelih, sembelihlah dengan cara yang terbaik. Hendaklah kamu menajamkan pisau dan mengistirehatkan sembelihannya.”[9]

Hadith ini secara jelas menunjukkan kepada kewajipan berlaku ihsan kepada setiap makhluk, termasuklah juga kepada haiwan kerana pada saat ia hendak disembelih pun, kita dituntut untuk berlaku ihsan kepada haiwan tersebut.

Selain itu, al-Nawawi juga ketika mensyarahkan hadith di atas menyebutkan bahawa haiwan sembelihan itu hendaklah direhatkan dengan cara menajamkan pisau dan menyegerakan proses sembelihannya. Begitu juga disunatkan untuk tidak menajamkan pisau di hadapan haiwan yang ingin disembelih dan tidak menyembelih haiwan dengan keberadaan haiwan yang lain.




Berbalik kepada soalan yang diajukan, disebutkan di dalam kitab al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah bahawa seseorang yang mendapatkan ikan yang masih hidup, maka dia tidak boleh terus untuk memakannya — yakni secara hidup-hidup — sehinggalah ikan itu mati atau dimatikan terlebih dahulu. Begitu juga makruh hukumnya memanggang ikan tersebut hidup-hidup kerana perbuatan itu telah menyeksanya tanpa keperluan. Hal ini kerana ikan ialah hidupan yang cepat mati, maka boleh ditunggu sehingga ia mati terlebih dahulu — sebelum dimasak.

Selain itu, al-Nawawi juga ada menyebutkan bahawa sekiranya ditelan ikan yang masih hidup atau ikan yang masih hidup itu dipotong separuh daripadanya, kemudian dimakan. Maka dalam hal ini, terdapat dua pendapat. Pendapat yang paling sahih ialah makruh dan bukannya haram. Manakala pendapat yang kedua ialah haram dan ini merupakan pendapat al-Ghazali.

Justeru, termasuklah juga haiwan-haiwan atau hidupan air lain yang mengambil hukum ikan.

Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa menyiang ikan secara hidup-hidup adalah makruh, bahkan ia menyalahi sifat berlaku ihsan yang dituntut dalam agama. Apatah lagi, kebiasaannya haiwan yang tinggal di air seperti ikan tidak dapat hidup lama di atas darat — yakni setelah ia berpisah dengan air.



Agama Islam mengajar kita agar bersikap ihsan terhadap haiwan. Maka, termasuklah dalam perbuatan ihsan itu, tidak menyeksanya dengan cara menyiangnya secara hidup-hidup. Begitu juga, perbuatan menyiang ikan atau haiwan air lain hidup-hidup tidak mencerminkan akhlak sebagai seorang Islam yang dekat dengan sifat rahmat — yakni bersikap belas kasihan dan berkasih sayang — sesama makhluk sebagaimana yang dituntut dalam agama Islam itu sendiri. Hal ini kerana perbuatan atau menyiangnya secara hidup-hidup itu merupakan sejuzuk daripada perbuatan menyeksa haiwan. Kami akhiri dengan hadith ini sebagai iktibar buat kita semua, di mana Baginda SAW ada bersabda:

مَنْ لاَ يَرْحَمُ لاَ يُرْحَمُ

Maksudnya: “Sesiapa yang tidak menyayangi maka dia tidak akan disayangi.”[14]

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

24-11-2024 11:51 PM GMT+8 , Processed in 0.050593 second(s), 12 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list