View: 7390|Reply: 0
|
Terus hidupkan Ramadan dengan amal ibadah
[Copy link]
|
|
Terus hidupkan Ramadan dengan amal ibadah
GANJARAN besar akan dianugerahkan Allah SWT kepada Muslim yang mampu menunaikan ibadah puasa dengan kualiti terbaik.
Bulan Ramadan yang dinantikan seluruh umat Islam bakal kembali lagi dengan membawa rahmat dan keberkatan daripada Allah SWT. Sudah menjadi kewajipan bagi setiap umat Islam merebut peluang dengan memanfaatkan sepenuhnya setiap detik dalam bulan Ramadan dengan perkara diredai Allah SWT. Keberkatan bulan Ramadan bukan sahaja terletak pada waktu siang dengan berpuasa, tetapi berterusan dengan menghidupkan waktu malam dengan amal ibadah.
Ramadan ialah bulan keampunan. Tiada ganjaran lebih besar selain Allah SWT mengampuni dosa para hamba-Nya yang bersungguh-sungguh melakukan ibadah dalam bulan Ramadan. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang menghidupkan Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharap pahala, nescaya akan diampuni baginya dosa-dosa yang lalu." (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Namun dalam keghairahan merebut peluang keemasan sepanjang Ramadan, kadang-kadang ada beberapa perkara terlepas daripada perhatian kita. Setiap Muslim perlu memahami berpuasa itu ibadah yang diperintahkan Allah SWT. Ia bukan adat menjadi ikut-ikutan masyarakat setempat. Justeru, pelaksanaan puasa perlu dilakukan dengan ilmu yang betul.
Antara perkara perlu diambil perhatian sepanjang bulan Ramadan nanti bagi memastikan ibadah kita mencapai tahap yang terbaik ialah:
Bersahur pada waktunya
Perkara ini perlu ditekankan kerana amalan bersahur yang membezakan ibadah puasa umat Islam dengan puasa dalam agama lain. Mungkin ada dalam kalangan kita ambil jalan mudah dengan makan lewat malam dan meninggalkan sahur. Perkara ini tidak tepat kerana bersahur itu sunat dilakukan pada akhir waktunya iaitu sebelum masuk waktu Subuh. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Bersahurlah kamu kerana pada sahur itu ada keberkatan." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Menyegerakan berbuka puasa
Sekiranya telah yakin masuknya waktu Maghrib, maka kita mesti segera berbuka puasa. Inilah antara keindahan Islam yang menjanjikan seribu satu rahmat dan kebaikan terhadap umatnya yang melakukan ibadah dengan tepat menurut garis panduan yang telah ditetapkan. Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Sentiasalah umatku berada dalam kebaikan sepanjang mereka menyegerakan berbuka puasa." (Hadis Riwayat al-Bukhari) Pastikan berbuka puasa selepas masuknya waktu maghrib. Sebagai inisiatif berjaga-jaga (ihtiyat), selain mendengar berkumandangnya azan Maghrib, rujuk jadual berbuka puasa yang dikeluarkan pihak berkuasa agama bagi mengelak kesilapan ataupun kekeliruan waktu berbuka puasa.
Bersederhana ketika berbuka
Antara cabaran utama golongan yang berpuasa adalah mengawal nafsu makan ketika berbuka puasa. Pelbagai juadah akan dibeli atau disediakan sehingga akhirnya hanya sebahagian sahaja mampu dihabiskan manakala bakinya dibuang. Jika keadaan ini tidak dikawal, sudah pasti ibadah puasa itu tidak mampu mendidik jiwa dan mengawal hawa nafsu dengan sempurna. Rasulullah SAW amat bersederhana ketika berbuka puasa. "Rasulullah berbuka puasa dengan rutab sebelum solat, dan sekiranya tiada rutab, maka dengan tamar, dan jika tiada, maka Baginda meminum beberapa teguk air." (Hadis Riwayat Abu Dawud dan at-Tirmidzi)
Menunaikan solat pada awal waktu secara berjemaah
Ibadah puasa adalah ibadah utama namun solat lima waktu lebih utama untuk ditunaikan dengan sempurna. Seharusnya umat Islam berlumba-lumba menunaikan solat awal waktu dan dilakukan secara berjemaah. Rasulullah SAW ketika ditanya sahabat berkaitan amalan yang terbaik, maka Baginda menjawab: "Solat pada awal waktunya." (Hadis Riwayat at-Tirmidzi) Disebabkan tiada keperluan keluar makan pada bulan Ramadan, manfaatkan masa rehat bekerja untuk pergi ke surau ataupun masjid bagi menunaikan solat Zuhur secara berjemaah. Inilah antara kelebihan Ramadan yang membuka ruang kepada umat Islam melaksanakan ibadah seperti dituntut Islam.
Memperbanyakkan doa
Sebenarnya antara keadaan yang mana doa dimakbulkan Allah SWT ialah apabila ia dilakukan orang yang berpuasa. Setiap permintaan dan hajat yang baik dan dipanjatkan secara ikhlas dan rendah diri, pasti dimakbulkan Allah SWT. Berdoalah ketika berpuasa dan ketika menunggu waktu berbuka. Hal ini sepertimana dijelaskan Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang bermaksud: "Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa itu tatkala waktu berbukanya, adalah waktu doa yang tidak akan tertolak." (Hadis Riwayat Ibn Majah)
Mengawal setiap kata-kata dan perbuatan
Perkara buruk seperti melemparkan kata-kata buruk dan kesat, mengumpat, berdusta, dan menyebarkan fitnah antara perkara mudah terdedah kepada kita. Kita perlu berhati-hati dalam setiap perkataan yang diucapkan dan perbuatan. Perkara buruk seperti ini bakal memusnahkan pahala puasa. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesiapa yang tidak meninggalkan tutur kata palsu dan mengamalkannya, maka Allah tidak berhajat dia (orang yang berpuasa) meninggalkan makanan dan minumannya." (Hadis Riwayat al-Bukhari)
Meskipun puluhan tahun menunaikan ibadah puasa yang sama, kita perlu sedar semestinya ada kelompangan di sana sini. Mana mungkin kualiti puasa kita ketika berusia 10 tahun sama dengan kualiti puasa ketika berusia 40 tahun dan seterusnya. Justeru, ambillah peluang sebelum tibanya Ramadan untuk melakukan muraja'ah atau ulang kaji berkaitan fikah puasa.
Marilah kita melakukan muhasabah diri serta berusaha melaksanakan ibadah puasa pada tahap terbaik. Kita perlu berusaha mendalami ilmu berkaitan puasa agar ibadah yang kita lakukan mencapai piawaian yang dikehendaki Allah SWT, seterusnya melayakkan diri mencapai darjat takwa sepertimana yang dijanjikan oleh-Nya dalam Surah al-Baqarah, ayat 183. "Wahai orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa."
Sesungguhnya ganjaran besar akan dianugerahkan Allah SWT kepada setiap Muslim yang mampu menunaikan ibadah puasa dengan kualiti yang terbaik. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya di dalam syurga ada satu pintu disebut dengan ar-Rayyan, orang yang berpuasa akan memasukinya pada hari Kiamat, tidak ada orang selain mereka yang memasukinya." (Hadis Riwayat al-Bukhari)
Penulis Pensyarah Pusat Pengajian Bahasa Arab, Fakulti Bahasa Dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)
Sumber:https://www.hmetro.com.my/addin/ ... -dengan-amal-ibadah
|
|
|
|
|
|
|
| |
|