Georgetown: Polis Pulau Pinang berjaya membongkar makmal pemprosesan dadah jenis heroin menerusi serbuan yang dijalankan di sekitar kawasan Seberang Perai di sini, semalam.
Tiga lelaki warga tempatan berusia antara 25 hingga 37 tahun ditahan kerana disyaki terbabit dengan aktiviti pemprosesan dan pengedaran dadah.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Khaw Kok Chin berkata, terdahulu suspek pertama ditahan ketika serbuan terhadap sebuah rumah dua tingkat di Simpang Ampat pada jam 4.35 petang dan mendapati ia dijadikan makmal bagi pemprosesan heroin.
Manakala dua lagi suspek ditahan di sebuah rumah di Seberang Perai Tengah pada waktu dan hari yang sama.
"Sebanyak 30 bungkusan dadah heroin dengan berat 13.5 kilogram (kg), 230 batang rokok yang mengandungi dadah cendawan (244 gram) dan serbuk kafein (4.23 gram) dirampas ketika serbuan itu.
"Polis turut menemukan peralatan dan perkakasan bagi aktiviti pemprosesan dadah selain bahan kimia di rumah yang dijadikan makmal berkenaan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut Kok Chin berkata, risikan mendapati aktiviti berkenaan aktif sejak tiga bulan lalu bagi pasaran tempatan dan jumlah keseluruhan dadah yang dirampas boleh diguna seramai 67,730 penagih.
Katanya, hasil ujian saringan air kencing mendapati kesemua tangkapan negatif daripada pengambilan bahan terlarang manakala dua daripada suspek mempunyai rekod lampau membabitkan jenayah dan dadah.
"Tindakan juga diambil mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 yang mana polis turut menyita enam kenderaan termasuk barangan kemas.
" Nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan harta berjumlah RM890,680," katanya.
Kesemua suspek direman selama tujuh hari sehingga 15 Ogos bagi siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Menurut Kok Chin, rumah yang dijadikan makmal itu disewa sejak dua bulan lalu dengan kadar sewaan sebanyak RM1,500.
"Kita teruskan siasatan dan lihat sama ada ia didalangi sindiket yang lebih besar," katanya.