GEORGETOWN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Acheh, Rashidi Zinol menepis dakwaan kononnya hubungan beliau dan ADUN Bertam, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican tegang susulan pelantikannya sebagai EXCO Kerajaan Pulau Pinang.
Wakil tunggal UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam Kerajaan Perpaduan hasil gabungan Pakatan Harapan (PH) dan BN itu, berkata beliau dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO terbabit sebenarnya sudah lama bersahabat baik.
"Kami bersahabat baik sejak zaman persekolahan," katanya pada sidang media, hari ini.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu lalu, Reezal Merican yang juga bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan menang kerusi DUN Bertam dengan majoriti lebih tinggi, iaitu 2,321 berbanding Rashidi yang meraih majoriti 124 undi.
Selain itu, timbul khabar angin kononnya wujud ketegangan berikutan Rashidi dipilih menganggotai barisan EXCO Pulau Pinang berbanding Reezal Merican yang juga pemimpin UMNO lebih kanan.
Situasi itu dihangatkan lagi dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab menyebar poster ucapan tahniah palsu, kononnya Reezal Merican akan dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang.
Sementara itu, Rashidi berkata, beliau akan menggunakan peluang yang diberi untuk memberi khidmat terbaik kepada rakyat sekali gus menyumbang untuk membina semula kekuatan UMNO di Pulau Pinang.
"Kita kalah bukan sebab mereka (lawan) kuat, kita kalah sebab persepsi yang ada hari ini. Pemimpin UMNO dan BN perlu buat sesuatu yang kita akan bincang," katanya.
Mengenai portfolio Perdagangan dan Pembangunan Keusahawanan dan Luar Bandar dalam kerajaan negeri, beliau berkata, ia selari dengan manifesto PN beliau.
"Bagi saya, mudah untuk saya berurusan, mungkin termasuk juga dengan kerajaan Pusat sebab kita di bawah Datuk Seri Zahid (Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Pengerusi BN Pulau Pinang merangkap Pengerusi UMNO negeri, Datuk Musa Sheikh Fadzir mengucapkan terima kasih kepada Reezal Merican kerana memberi laluan kepada muka baharu mewakili BN dalam barisan EXCO Pulau Pinang.
"Walaupun dia orang lama, dia beri laluan kepada orang baharu. Saya ucap terima kasih atas pengorbanan beliau.
"Insya-Allah, saya percaya dengan adanya wakil daripada UMNO dalam kerajaan negeri, ia akan memberi semangat dan iktibar kepada ahli parti untuk terus berjuang bagi mempertahankan bangsa dan tanah air ini," katanya.