View: 7921|Reply: 0
|
Isu integriti dalam PDRM: Modul latihan polis perlu diubah
[Copy link]
|
|
Isu integriti dalam PDRM: Modul latihan polis perlu diubah
KUALA LUMPUR: Susulan peningkatan isu integriti membabitkan anggota dan pegawai polis sejak kebelakangan ini, Persatuan Pegawai-pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia (RESPA) mencadangkan modul latihan pasukan itu disemak semula.
Presiden RESPA, Datuk Meor Che Hussein, berkata modul latihan untuk rekrut baharu pegawai dan anggota polis wajar ditambah baik dengan memberi lebih penekanan kepada pengukuhan mental, kerohanian, disiplin dan integriti.
Beliau berkata, pembentukan sahsiah yang baik perlu sejajar dengan tahap fizikal yang bagus dalam melahirkan pegawai dan anggota polis yang berintegriti dan berdedikasi.
Katanya, asas sahsiah baik dalam profesion kepolisan ini perlu kukuh untuk memastikan mereka tidak mudah terpesong dan tergoda dengan pelbagai dugaan termasuk tawaran rasuah apabila mereka memulakan tugas kelak.
"Melihat satu kes salah laku membabitkan dua anggota polis yang terbabit kes samun dan rogol baru-baru ini, salah seorang daripadanya baharu sahaja enam bulan memulakan tugas... ini menunjukkan ada yang tidak betul (semasa latihan).
"Mungkin ada kekurangan dalam modul latihan, ia tidak menerapkan rasa sayang kepada pasukan, komitmen terhadap tugas dan seolah-olah tiada rasa tanggungjawab kepada tugas, pasukan dan negara," katanya kepada BH.
Beliau mengulas peningkatan kes jenayah membabitkan anggota dan pegawai polis di seluruh negara sejak beberapa minggu kebelakangan ini, termasuk kes dua anggota polis dari Unit Kereta Peronda (MPV), Ampang Jaya yang disyaki menyamun lelaki tempatan 18 tahun dan merogol pelajar warga Uzbekistan berusia 17 tahun, awal bulan lalu.
Isnin lalu, lima anggota polis termasuk seorang Deputi Superintendan (DSP) dicekup Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman bersama sejumlah 5.2 liter cecair disyaki air ketum di Melaka.
Mereka ditahan adalah DSP dari Jabatan Pengurusan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Inspektor (Cawangan Jenayah Berat, D9, Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah), dua Sarjan dan seorang Lans Koperal bertugas di IPD Alor Gajah serta orang awam.
Meor berkata, perbuatan salah laku seperti itu, menunjukkan seperti ada dalam kalangan mereka yang menyertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) hanya untuk bermegah dan mahu rasa mereka ada kuasa untuk menindas orang.
"Seiring dengan perubahan zaman, modul latihan juga perlu ditambah baik daripada semasa ke semasa dan tapisan sewaktu pengambilan pegawai dan anggota baharu perlu diperketatkan.
"Mungkin ada keperluan untuk PDRM membuat saringan kesihatan psikologi secara profesional dengan bantuan Kementerian Kesihatan (KKM) ke atas semua rekrut baharu untuk memastikan sama ada mereka benar-benar layak atau sebaliknya," katanya.
Kukus sistem penyeliaan
Seterusnya, kata Meor, PDRM perlu memperkukuh sistem penyeliaan di semua peringkat dalam memastikan 'budaya' kerja yang tidak baik daripada terus berakar dalam pasukan tidak kira membabitkan anggota senior atau junior.
"Penyeliaan dan pemantauan oleh penyelia ke atas pegawai dan anggota bawahan semasa mereka menjalankan tugas itu amat penting. Selain itu, tanya orang ramai atau masyarakat sekeliling di tempat pegawai dan anggota itu menjalankan tugas, dapatkan respons dan pandangan mereka.
"Kita tanya pada masyarakat yang menerima perkhidmatan, barulah kita tahu sama ada pegawai dan anggota terbabit jalankan tugas dengan baik atau tidak, itu caranya," kata beliau.
Ini kerana banyak aduan yang diterima daripada masyarakat, maka katanya, tiada guna tanya pada anggota atau pegawai terbabit, sebaliknya penyelia perlu tanya pada orang yang membuat aduan.
"Pokoknya, pegawai dan anggota polis perlu mengawal ego masing-masing apabila dipertanggungjawab dengan kuasa, jika ego itu gagal dikawal, maka mendorong mereka melakukan salah laku dan salah guna kuasa.
"Di semua peringkat lapisan PDRM, disiplin dan integriti adalah asas dalam menjalankan tugas, jika di peringkat pegawai atasan tiada kedua-dua asas ini, maka ia memberi impak kepada pegawai dan anggota bawahan," katanya.
Gaji rendah bukan faktor rasuah, salah laku
Isu gaji rendah anggota polis khususnya kategori lain-lain pangkat (LLP) bukan faktor mendorong kepada berlakunya salah laku, terutama perbuatan rasuah yang hanya membabitkan segelintir daripada mereka.
Namun kerajaan diharap tidak memandang sepi keluhan golongan terbabit yang masih mengharapkan ada perubahan pada tangga gaji mereka kerana paras minimum anggota LLP ketika ini sangat tidak setimpal dengan keperluan ekonomi semasa.
Mengulas perkara itu, Presiden Persatuan Pegawai Rendah Polis Diraja Malaysia (PPRPD), Sub Inspektor Abd Rashid Ali, berkata gaji pokok seorang konstabel bermula dari RM1,441 sebulan.
Katanya, walaupun menerima elaun sekitar RM600 hingga RM700, namun kadar itu tidak tetap dan berbeza mengikut cawangan penugasan.
"Sedangkan, kami ada keluarga yang perlu disara. Selain perbelanjaan diri sendiri dan keluarga, ada yang perlu menanggung kedua-dua orang tua. Dari mana mahu dapat duit untuk menyara semua itu?
"Anak pula perlu dihantar ke taska dan sekolah, jika ada anak dua tiga orang, berapa dah kami perlu keluarkan belanja? Ini tidak termasuk perbelanjaan pendidikan tinggi anak-anak," katanya kepada BH semalam.
Abd Rashid Ali
Abd Rashid berkata, Skim Perkhidmatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ada tiga skim iaitu Skim Perkhidmatan Konstabel dengan gaji permulaan RM1,441; Skim Perkhidmatan Konstabel Orang Asli (RM1,334) dan Skim Perkhidmatan Konstabel Sokongan (RM1,220).
"Ketika ini gaji skim perkhidmatan Orang Asli dan Sokongan lebih rendah daripada RM1,441. Sekiranya gaji skim perkhidmatan konstabel ditingkatkan kepada RM1,500; gaji skim Orang Asli dan Sokongan kelak akan menjadi lebih rendah lagi.
"Berikutan gaji yang rendah, ramai anggota pangkat rendah cuba meminimumkan kos sara hidup dengan meminimumkan kualiti kehidupan mereka bersama keluarga.
"Sebagai contoh kebanyakan anggota berkhidmat di Bukit Aman terpaksa menetap jauh dari ibu kota seperti di Nilai dan Seremban kerana sewa rumah yang lebih rendah tetapi mengharungi kehidupan 'Pergi kerja gelap, balik kerja pun gelap'.
"Di Bukit Aman, masih ada lagi keluarga pegawai rendah polis tinggal di berek dua bilik dengan satu bilik air yang usang sebab tidak mampu menyewa perumahan yang lebih baik kerana mahal," katanya.
Susulan itu, pihaknya menyarankan supaya Skim Perkhidmatan PDRM dijadikan sebagai 'Special Service' supaya kadar gaji dan pencen tidak mengikut formula kiraan penjawat awam yang biasa.
"Ia perlu diletakkan di bawah sebuah skim perkhidmatan khas kerana pasukan penguatkuasaan adalah satu perkhidmatan yang melibatkan nyawa.
"Persatuan juga menyarankan kerajaan untuk melihat kebajikan anggota polis, antaranya kemudahan prasarana tempat kerja, kuarters yang mencukupi, menyediakan insuran nyawa dan menubuhkan Yayasan PDRM.
"Contohnya, menyediakan bantuan pelajaran kepada anak-anak warga PDRM khasnya dalam kalangan pegawai rendah," katanya.
Calar imej PDRM
Mengenai isu salah laku, Abd Rashid berkata, isu gaji rendah yang dikaitkan dengan berlakunya perbuatan rasuah adalah kurang tepat.
"Ini lebih kepada integriti individu itu sendiri bergantung pada keimanan, didikan agama, integriti nilai-nilai murni dan ia lebih kepada sifat ingin hidup mewah, selain pengaruh persekitaran serta rakan rakan.
"Hanya segelintir dari keseluruhan 137,000 pegawai kanan serta rendah polis yang terlibat. Inilah individu yang mencalar imej dalam pasukan PDRM," katanya.
Bagi menangani masalah ini, katanya PPRPD sentiasa bekerjasama dengan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) dalam memberi nasihat serta taklimat keseluruhan kontinjen, briged dan formasi berkaitan bahaya serta kesan salah laku rasuah di mata masyarakat.
Dalam pada itu, katanya PDRM perlu melihat dan memastikan mereka mereka yang ingin menyertai pasukan polis, perlu ada nilai-nilai murni.
"Memang bukan perkara mudah melatih mereka orang awam menjadi seperti 'malaikat' dalam tempoh singkat. Banyak halangan dan rintangan perlu dilalui dan hasilnya terserah pada individu berkenaan," katanya.
Berkaitan dengan cadangan kenaikan gaji, katanya perkara itu sudah pun diutarakan sejak ucapan Perdana Menteri pada sambutan Hari Pekerja 1 Mei tahun lalu.
"Sejak pengumuman berkenaan, satu perjumpaan serta kajian sudah diangkat kepada pengetahuan kerajaan terkini.
"Akhir tahun lalu, satu lagi perjumpaan bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) diadakan dan mereka berjanji memperhalusi perkara itu, namun sehingga kini tiada perkembangan terbaru.
"Pihak PDRM juga akan meneliti semula cadangan yang lalu bersesuaian dengan ekonomi semasa serta relevan untuk jangkamasa sekurang-kurangnya bagi tempoh 10 tahun akan datang," katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya sangat berharap Kerajaan MADANI mengotakan janji berkaitan isu gaji dan juga perumahan serta kebajikan dari segi kuarters polis sebagai menghargai tugas dan pengorbanan pegawai rendah polis.
https://www.bharian.com.my/berit ... -polis-perlu-diubah |
|
|
|
|
|
|
| |
|