View: 4187|Reply: 1
|
Arif Aiman menang MVP kali ketiga, JDT bolot 9 anugerah
[Copy link]
|
|
ARIF Aiman bersama trofi dimenangi. FOTO Johor Southern Tigers
Kuala Lumpur: Penyerang muda sensasi Johor Darul Ta'zim (JDT), Arif Aiman Hanapi berada dalam kelas tersendiri apabila dinobatkan Pemain Paling Bernilai (MVP) buat kali ketiga berturut-turut pada majlis Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2023 (ABK23), sebentar tadi.
ABK23 menyaksikan kecemerlangan bintang muda berusia 22 tahun itu yang berjaya mempertahankan gelaran selepas kali pertama dinobatkan sebagai MVP ketika usianya 19 tahun pada ABK21.
Prestasi cemerlangnya bersama JDT pada musim lalu melayakkan Arif untuk meraih anugerah selain turut menjadi nadi utama pasukan dalam membantu JDT mempertahankan kejuaraan Liga Super selama sedekad.
Arif menjadi pemain JDT pertama melakar hatrik meraih gelaran MVP dan pemain kedua mencipta rekod itu selepas bekas penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha melakukannya pada 2010, 2011 dan 2012.
"Syukur Alhamdulillah kerana saya berjaya meraih anugerah MVP buat kali ketiga dan sebenarnya pun tak sangka juga sebab saya baru sahaja berusia 22 tahun.
"Saya gembira dengan segala usaha yang saya lakukan selama ini untuk menang anugerah dan sudah tentu kejayaan ini akan memberi semangat untuk saya melakukan yang lebih baik.
"Saya tidak akan pernah rasa cepat berpuas hati dan seperti biasa saya akan terus berusaha buat yang terbaik untuk diri sendiri dan juga kelab (JDT)," katanya.
Selain itu, pemain kelahiran Kuantan, Pahang itu turut mendominasi empat lagi anugerah lain iaitu Penyerang Terbaik, Pemain Muda Terbaik, Gol Terbaik Liga Malaysia 2023 serta berkongsi Anugerah Kasut Emas - Penjaring Terbanyak Tempatan Liga Super bersama penyerang Selangor FC, Faisal Abdul Halim.
Ini juga musim ketiga Arif dinobatkan Penyerang Terbaik selepas memenanginya pada 2021 dan 2022.
Secara keseluruhan, ABK23 menyaksikan JDT berjaya menguasai sembilan kategori utama yang dipertandingkan kali ini.
Selain lima anugerah dirangkul oleh Arif, penjaga gol JDT, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed berjaya mempertahankan gelaran Penjaga Gol Terbaik dan Afiq Fazail pula memenangi Pemain Tengah Terbaik buat kali kedua.
Tonggak import JDT, Bergson Da Silva turut sama mempertahankan anugerah Pemain Import Terbaik selain juara sedekad Liga Super, JDT pula merangkul gelaran Pasukan Terbaik.
Mesin gol Selangor FC musim lalu, Ayron Del Valle memenangi Kasut Emas - Penjaring Terbanyak Liga Super dengan 23 gol keseluruhan manakala pemain Kedah Darul Aman FC B (KDA B) Ebenezer Assifuah pula dinobatkan Penjaring Terbanyak Piala MFL menerusi ledakan 16 gol.
Anugerah Jurulatih Terbaik menjadi milik pengendali Selangor FC musim lalu, Tan Cheng Hoe susulan kejayaannya membimbing kelab itu menamatkan saingan Liga Super di tangga kedua sekali gus meraih slot ke Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2).
Azam Azmi Murad (Terengganu FC) pula dinobatkan selaku Pertahanan Terbaik manakala Anugerah Fair Play pula dimenangi pasukan Terengganu FC.
Pemain muda Terengganu FC, Ubaidullah Shamsul Fazili turut mencuri tumpuan selepas berjaya memenangi Anugerah Pemain Terbaik Piala MFL yang juga kategori baharu untuk kejohanan yang kali pertama dipertandingkan pada musim lalu.
Seramai 398 daripada 782 pemain disenarai pendek berdasarkan penampilan bersama kelab masing-masing sebelum dibawa ke Jawatankuasa Saringan ABK23 yang terdiri daripada Penolong Ketua Jurulatih Pasukan Kebangsaan E Elavarasan, Timbalan Presiden Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) Razman Roslan, AJK Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM) Noor Zaidi Rohamat, Exco Persatuan Penulis Penulis Sukan Malaysia (SAM) Rozaidi Zulkifli dan wakil penyiar rasmi Liga Malaysia (HB) S Keeshaanan bagi menyenarai pendek 10 pemain terbaik dalam setiap kategori.
Pemilihan pemain terbaik bagi lapan kategori dibuat menerusi undian 14 ketua jurulatih dan 14 ketua pasukan Liga Super, 15 ketua jurulatih dan 15 ketua pasukan Piala MFL serta 29 wakil media.
Sementara itu bagi kategori anugerah Pasukan Terbaik diputuskan oleh Ahli Jawatankuasa Teknikal MFL, Anugerah Fair Play ditentukan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), manakala Fan XI dan Gol Terbaik Liga Malaysia 2023 pula menerusi undian penyokong.
*Senarai Pemenang ABK23*
Pemain Paling Bernilai (MVP) - Arif Aiman Hanapi (JDT)
Jurulatih Terbaik - Tan Cheng Hoe (Selangor)
Penjaga Gol Terbaik - Ahmad Syihan Hazmi Mohamed (JDT)
Pertahanan Terbaik - Azam Azmi Murad (Terengganu FC)
Pemain Tengah Terbaik - Afiq Fazail (JDT)
Penyerang Terbaik - Arif Aiman Hanapi (JDT)
Pemain Import Terbaik - Bergson Da Silva (JDT)
Pemain Muda Terbaik - Arif Aiman Hanapi (JDT)
Gol Terbaik Liga Malaysia 2023 - Arif Aiman Hanapi (JDT)
Penjaring Terbanyak Tempatan Liga Super - Arif Aiman Hanapi (JDT)/Faisal Abdul Halim (Selangor)
Penjaring Terbanyak Liga Super - Ayron Del Valle (Selangor)
Pasukan Terbaik - JDT
Anugerah Fair Play - Terengganu FC
Anugerah Pemain Terbaik Piala MFL - Ubaidullah Shamsul Fazili (Terengganu FC)
Penjaring Terbanyak Piala MFL - Ebenezer Assifuah (KDA B)
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... dt-bolot-9-anugerah |
|
|
|
|
|
|
|
Tahniah diucapkan kepada semua pemenang |
|
|
|
|
|
|
| |
|