View: 3546|Reply: 0
|
Izzah jadikan Olimpik Paris bina kejayaan
[Copy link]
|
|
IZZAH muncul pelumba trek wanita kedua negara akan beraksi di Olimpik selepas Fatehah pada edisi London 2012 dan Rio 2016.
PELUMBA berbasikal wanita negara, Nurul Izzah Izzati Mohd. Asri percaya penampilan sulung pada Sukan Olimpik Paris 2024 adalah permulaan terbaiknya untuk terus mencipta kejayaan dalam sukan kegemarannya itu.
Biarpun sebelum ini namanya tidak disebut-sebut untuk menempah slot ke temasya berprestij di dunia itu, namun pelumba yang hanya mempunyai ketinggian 152 sentimeter tersebut berjaya mencelah untuk meletakkan namanya ke Paris pada Julai nanti.
Bagi pelumba berusia 20 tahun dari Kedah itu, saiz bukan satu-satunya ukuran kejayaan dan kini mengharapkan kehadirannya di pentas Olimpik mampu mendorongnya melakar kejayaan gemilang selepas ini.
“Keputusan paling tidak dijangka tahun ini adalah impian setiap atlet untuk layak ke temasya Olimpik. Satu langkah besar untuk saya yang akan berada di barisan hadapan.
“Saya harap kerjaya saya tidak akan berakhir di sini. Ini hanya permulaan untuk mengorak langkah ke hadapan, masih banyak perkara yang perlu saya pelajari dalam kerjaya ini.
“Tiada yang mustahil, saiz bukan satu-satunya ukuran kejayaan,” katanya yang akan beraksi bersama Datuk Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom di Olimpik Paris.
Izzah turut mengucapkan terima kasih kepada semua yang menyokongnya terutama keluarga kerana menjadi sumber kekuatan dan tulang belakang kejayaannya hari ini.
“Terima kasih semua kerana sentiasa menyokong saya walau apa pun yang berlaku. Saya akan sentiasa bekerja keras untuk memperbaiki diri menjadi lebih baik,” ujarnya.
Kejayaan melangkah ke Olimpik menyaksikan Izzah meneruskan legasi pelumba trek wanita negara, Fatehah Mustapa yang pernah beraksi di dua temasya Olimpik sebelum ini iaitu London 2012 dalam acara keirin dan Rio 2016 untuk kategori pecut individu. – KOSMO! ONLINE
https://www.kosmo.com.my/2024/04 ... aris-bina-kejayaan/ |
|
|
|
|
|
|
| |
|