Nibong Tebal: "Saya bersyukur sepanjang (tujuh hari kempen) tiada (pengundi) yang menolak (kehadiran saya) tetapi semua mengatakan sokongan dan mereka selalu sebut 'Cikgu Joohari nombor satu'…Itulah yang menarik semangat saya," kata calon Pakatan Harapan (PH) Dr Joohari Ariffin.
Beliau berkata, meskipun tidur hanya tiga jam sehari sepanjang kempen, dia tetap bersemangat turun ke lapangan bertemu pengundi.
Lebih mengujakan, pengundi di Sungai Bakap yang ditemui mengetahui kedudukan undi calon bertanding apabila melaungkan 'Cikgu Joohari nombor satu' yang ia amat bermakna.
Mengulas lanjut, Joohari berkata, beliau menghadiri sekitar 12 program sehari yang diatur dan disusun jenteranya sepanjang tempoh berkempen.
"Ini baru jadual pada hari bekerja dan dijangka akan bertambah pada hujung minggu ini yang saya akan pastikan untuk bertemu semua pengundi sebelum kempen berakhir.
"Saya pula sejak kempen hanya tidur tiga jam sehari tetapi itu tak jadi penghalang untuk saya dan mengamalkan mengambil 'supplement' (makanan) tambahan untuk menjaga stamina dan kesihatan," katanya ketika ditemui hari ini.
Sementara itu, ditanya mengenai permintaan pengundi yang mahukan wakil rakyat kerap turun padang selepas PRK, Joohari berkata, permintaan itu rasional dan ia juga adalah iltizam dirinya.
"Betullah (perlu turun padang) kita jadi wakil mereka...bukan kita diangkat untuk singgah sana sini sebaliknya kena turun ke bawah (temui pengundi) dan itu juga iltizam saya sebenarnya," katanya.