CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 11580|Reply: 0

[Pulau Pinang] 'Negeri lain contohi LHDN Pulau Pinang kutip hasil' - Anwar

[Copy link]
Post time 29-6-2024 04:31 PM | Show all posts |Read mode
'Negeri lain contohi LHDN Pulau Pinang kutip hasil' - Anwar

OlehSYAJARATULHUDA MOHD ROSLI

29 Jun 2024 04:01pm








Anwar (empat dari kiri) merasmikan Menara Hasil Pulau Pinang pada Sabtu.




GEORGE TOWN - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di negeri lain mencontohi Pulau Pinang yang mencatatkan jumlah kutipan hasil tinggi pada suku pertama tahun ini.

Anwar juga berharap agar tiada kebocoran atau keciciran yang boleh menyebabkan kutipan hasil terjejas.


"Pulau Pinang suku pertama mencatatkan jumlah kutipan melebihi unjuran yang lebih kecil.
"Jadi, saya minta, negeri-negeri lain juga usahakan, kita tidak mahu ada kebocoran atau keciciran (hasil)," katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Menara Hasil Pulau Pinang di sini pada Sabtu.

Untuk rekod, pencapaian kutipan cukai LHDN Pulau Pinang sehingga 31 Mei lalu ialah sebanyak RM 3.542 bilion iaitu suatu pencapaian yang positif berbanding dengan sasaran kutipan yang ditetapkan bagi Pulau Pinang bagi tempoh yang sama.

Momentum positif itu akan diteruskan bagi mencapai sasaran tahunan pejabat Pulau Pinang sebanyak RM8.1 bilion.

Sementara itu Anwar dalam ucapannya berkata, prestasi LHDN Pulau Pinang dilihat boleh dijadikan pedoman kepada negeri-negeri lain supaya meningkatkan prestasi bagi melakukan sesuatu yang lebih baik.

"Kita tahu landasan percukaian kita di antara terendah di Asia, maknanya pembayar-pembayar cukai membayar cukai pada kadar yang rendah.


"Di Pulau Pinang, di bawah pentadbiran Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dan rakan-rakannya meletakkan Pulau Pinang sebagai negeri yang menjadi tarikan penting pemodal dan dapat meningkatkan sumbangan hasil yang tinggi," katanya.

Anwar menambah, beliau memahami kesukaran yang dihadapi LHDN dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dalam menjalankan tugas untuk mengutip cukai.

"Saya faham kesukaran LHDN dan JKDM dalam menjalankan kerja kutipan hasil, namun ia perlu dilaksanakan dengan tegas bagi memastikan tugas yang diamanahkan dapat dilaksana dengan baik.

"Saya bagi jaminan yang cukup tegas, saya tidak mahu saudara-saudara berasa gentar. Siapa yang perlu bayar cukai, bayar. Tidak kira Menteri, Perdana Menteri atau tokey besar, Tun atau Tan Sri, itu bukan soalnya.

"Ini kerana, tugas saudara profesional dan tegas, dan saya dengan amanah sebagai Perdana Menteri, tetap akan pertahankan setiap pegawai yang menjalankan tugas sebab saya tahu sukar," katanya.

Tambah Anwar, beliau memahami tekanan yang dihadapi pegawai LHDN dan JKDM dalam menjalankan tugas kerana tekanan terlalu kuat.

"Bukan pegawai-pegawai tak buat kerja tetapi tekanan terlalu kuat, tekanan daripada kelompok yang melindungi.

"Oleh itu, saya memilih untuk membentangkan kepada Jemaah Menteri dan menyatakan bahawa kita harus gunakan amanah yang diberikan oleh ALLAH SWT untuk kita jalankan kerja dengan baik," katanya.



Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

27-11-2024 11:59 AM GMT+8 , Processed in 0.053091 second(s), 12 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list