GEORGE TOWN - Empat buah rumah di Jalan Bukit Dumbar, Jelutong Timur di sini musnah dalam kejadian kebakaran awal pagi Sabtu.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Rosli Ibrahim berkata, kejadian berlaku pada jam 4.15 pagi melibatkan rumah kelas C.
Menurutnya, kebakaran turut melibatkan beberapa buah motosikal milik penduduk namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Selain empat buah rumah, beberapa buah motosikal penduduk juga musnah dalam kejadian berkenaan.
"Kebakaran melibatkan empat unit rumah kelas C dengan anggaran keluasan setiap unit 6 x 9 meter persegi. Keluasan keseluruhan kebakaran adalah 24.3 x 36.5 meter persegi dengan anggaran peratusan kemusnahan adalah 90 peratus.
"Punca kebakaran dan jumlah kerugian sedang disiasat," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, kebakaran dapat dipadamkan sepenuhnya oleh 20 anggota dari BBP Jalan Perak dan turut dibantu BBP Lebuh Pantai dan Paya Terubong.