Georgetown: Ketua Menteri Chow Kon Yeow hari ini menjelaskan spekulasi berhubung akan berlakunya pertukaran jawatan membabitkan Timbalan Ketua Menteri II Jagdeep Singh Deo tidak pernah dibincangkan.
Beliau memaklumkan, Jagdeep berjumpa dengannya pada 19 Julai lalu bagi mengemukakan surat permohonan cuti untuk kelulusan bagi tujuan mendapatkan rawatan kesihatan
"Sebagaimana penjelasan beliau, tujuan permohonan cuti itu adalah untuk membolehkannya menjalani pemeriksaan berkemungkinan memerlukan prosedur pembedahan pada kaki kiri yang memperuntukkan kepakaran serta pemeriksaan lanjut pakar perubatan pada kadar secepat mungkin.
"Setelah mempertimbangkan penjelasan serta tujuan permohonan cuti berkenaan saya telah memberi kelulusan cuti selama 11 hari bekerja bermula 22 Julai sehingga 5 Ogos depan sebagaimana dimohon oleh beliau," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Kon Yeow yang juga EXCO Kewangan, Pembangunan Ekonomi, Tanah dan Komunikasi berkata, beliau dimaklumkan Jagdeep sudah mula menerima rawatan yang diperlukan sejak semalam.
Berikutan itu, beliau dan seluruh jentera barisan kepimpinan kerajaan negeri mendoakan Jagdeep cepat sembuh dan kembali bersama-sama meneruskan agenda pembangunan Pulau Pinang demi kepentingan seluruh rakyat di negeri itu.
Semalam, media melaporkan, Timbalan Pengerusi DAP negeri itu menolak dakwaan bahawa beliau diminta bercuti daripada menjalankan peranannya dalam majlis eksekutif negeri.
Jagdeep dilaporkan berkata, beliau telah menulis secara peribadi untuk memohon cuti bagi mendapatkan nasihat mengenai beberapa masalah kesihatan dialaminya di ibu kota.