Georgetown: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) supaya mematuhi garis panduan sedia ada dengan tidak menerima dana daripada syarikat produk tembakau atau minuman keras.
Pegawai Pendidikannya N V Subbarow berkata, ia berikutan sumbangan yang membabitkan hasil aktiviti rokok dan minuman keras itu ternyata haram.
"CAP minta Kabinet tidak beri laluan bagi berunding (dengan pihak syarikat) mengenai garis panduan itu.
"KPM perlu melarang sekolah daripada menerima dana hasil industri berkenaan," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini. Menurut Subbarow, kedua-dua produk berkenaan juga adalah 'musuh' kepada kesihatan manusia sekali gus boleh membawa banyak masalah dalam kalangan sosial.
"CAP juga merakam ucapan terima kasih kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kerana memperkasa kod sukan yang selamat dengan mengelak sebarang tajaan aktiviti sukan membabitkan syarikat tembakau, alkohol, rokok elektronik atau vape. "Sehubungan itu, CAP berharap KPM tegas dalam menangani isu ini," katanya.
Terdahulu, media melaporkan KPM sedang melakukan siasatan berhubung isu penganjuran program amal di sebuah sekolah membabitkan sumbangan syarikat minuman keras.
Menterinya Fadhlina Sidek dipetik berkata, pentadbir institusi pendidikan di bawah KPM dinasihati mematuhi garis panduan dalam menguruskan sumbangan daripada pihak luar.