GEORGETOWN: Tokoh veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang mendahului senarai penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat kehormatan Negeri Pulau Pinang sempena sambutan Ulang Tahun Ke-75 Yang di-Pertua Negeri, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak.
Kit Siang, 83, yang pernah mengetuai blok pembangkang Parlimen dari 1974 hingga 1999 menerima Darjah Utama Pangkuan Negeri (DUPN) yang membawa gelaran Datuk Seri Utama.
Pada tahun ini seramai 142 individu bakal menerima penganugerahan darjah kebesaran manakala 1,204 lagi menerima bintang dan pingat kehormatan.
Mereka terdiri daripada anggota perkhidmatan awam negeri dan persekutuan, ahli politik, ahli korporat, anggota pertubuhan bukan kerajaan, usahawan tempatan dan ahli badan sukarelawan dalam empat sesi istiadat yang dijalankan bermula esok hingga Khamis ini.
Dalam pada itu, seramai 28 individu menerima Darjah Gemilang Pangkuan Negeri (DGPN) yang membawa gelaran Datuk Seri antaranya Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Datuk Law Choo Kiang; Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Shaik Abdul Rasheed Ghaffour dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Khaw Kok Chin.
Turut menerima DGPN ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Datuk Rosli Taha; Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri, Datuk Azman Ibrahim dan Panglima Medan Barat Tentera Darat ke-24, Leftenan Datuk Pahlawan Muhammad Huzaimi Sabri.
Sementara itu, seramai 10 penerima menerima Darjah Mulia Pangkuan Negeri (DMPN) serta 103 penerima Darjah Setia Pangkuan Negeri (DSPN) yang membawa gelaran Datuk.
Antara yang menerima DMPN ialah Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Dr Mohamaed Abdul Hamid; Timbalan Pengarah Siasatan dan Perundangan Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Muhammad Usuf Jan Mohamed.
Penerima DSPN pula ada Mufti Pulau Pinang, Prof Madya Dr Mohd Sukki Othman dan Duta Besar Malaysia ke Timor Leste, Amarjit Singh Sarjit Singh.
Dalam pada itu seramai, 102 menerima anugerah Darjah Johan Negeri (DJN) manakala 30 bagi Bintang Cemerlang Negeri (BCN).
Pingat Gagah Perwira (PGP) dianugerahkan kepada Sarjan Mazlan Abdul Rahman yang menyelamatkan dua mangsa yang terjatuh dari Jambatan Pulau Pinang pada 15 Januari lalu.