Johor Bahru: Tempoh reman ke atas pengasuh yang ditahan berhubung kes bayi perempuan dua bulan yang patah kaki disyaki didera disambung lagi tiga hari.
Reman ke atas wanita berusia 36 tahun itu dibenarkan mahkamah bagi membolehkan siasatan lanjut dibuat terhadapnya.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, perintah reman yang dilanjutkan terhadap suspek wanita itu bermula esok sehingga Rabu ini.
Beliau berkata, sebelum ini, suspek direman enam hari sehingga hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
"Kita telah mendapatkan kebenaran mahkamah untuk melanjutkan tempoh reman selama tiga hari bermula esok hingga Rabu ini," katanya ringkas ketika dihubungi, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan polis menahan pengasuh itu di Bandar Dato' Onn di sini, selepas ibu bapa bayi berkenaan membuat laporan polis, Ahad lalu.
Ibu bayi berkenaan meluahkan kekecewaannya di media sosial selepas dia dan suami menyedari ada yang tidak kena pada anaknya selepas diambil daripada rumah pengasuh, sehari sebelum laporan polis dibuat.
Bayi berkenaan dikatakan sentiasa menangis terutamanya ketika menukar lampin pakai buang, selain enggan minum susu.
Pasangan itu membawa anaknya ke hospital dan dimaklumkan bahawa bahagian peha bayi itu patah selepas membuat imbasan X-ray.
Ibu bayi itu kemudian menelefon pengasuh bayinya bagi bertanya mengenai kecederaan berkenaan, namun dia menafikan perkara itu sebelum mereka bertindak membuat laporan polis.
|