Seremban: Anggota polis yang parah selepas dirempuh 'mat rempit' yang melawan arus dekat Lebuhraya Kajang- Seremban (Lekas) di sini, awal pagi semalam, masih lagi ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tuanku Jaafar (HTJ).
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Negeri Sembilan, Superintendan Muhammad Zaki Ramat berkata, doktor memaklumkan anggota berkenaan menunjukkan reaksi positif.
"Daripada laporan perubatan dan apa yang dimaklumkan doktor, anggota ini patah tulang paha kanan dan berlaku pendarahan dalam otak. Semalam dia tidak sedarkan diri dan diberi bantuan pernafasan.
"Kami difahamkan dia ditidurkan sementara bagi memberi ruang otaknya berehat dan sudah selesai menjalani pembedahan pada bahagian paha yang patah. Itu dimaklumkan, namun secara perubatannya, doktor yang merawat lebih tahu," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Tambahnya, pihaknya baru sahaja selesai melawat anggota berkenaan dan masih lagi dalam keadaan separa sedar serta belum dipindahkan ke wad biasa.
"Manakala remaja berkenaan mengalami patah kaki kanan dan dirawat di wad biasa," katanya.
Jelas beliau, anggota berkenaan mempunyai empat anak berusia empat hingga 11 tahun dengan dua daripadanya adalah autistik.
Kejadian itu turut menarik perhatian Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof yang melawat mangsa dan bertemu dengan keluarga anggota berkenaan, semalam.
Media sebelum ini melaporkan anggota polis trafik Seremban dan seorang remaja parah apabila kedua-dua motosikal dikatakan bertembung di Kilometer (KM) 36 (S), Lebuhraya Kajang- Seremban (Lekas), di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) itu dikatakan sedang melakukan tugas sebelum dikatakan dirempuh remaja berkenaan yang melawan arus.
|