Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Kedah menyerahkan sumbangan keratan ayam sejuk beku untuk dijadikan makanan ternakan kepada Pusat Pemulihan Akhlak Penjara Machang, Kelantan di pintu Masuk Bukit Kayu Hitam, semalam.- Foto NSTP/Ihsan MAQIS
BUKIT KAYU HITAM: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Kedah menyerahkan sumbangan bekalan makanan haiwan bernilai RM24,120 untuk dijadikan makanan ternakan di pusat pemulihan akhlak penjara.
Pengarah MAQIS Kedah, Hisham Abu Bakar, berkata sumbangan itu membabitkan lebih tiga tan keratan ayam sejuk beku yang diserahkan kepada pihak Pusat Pemulihan Akhlak Penjara Machang, Kelantan di pintu masuk Bukit Kayu Hitam, semalam.
Katanya, sumbangan itu bagi memenuhi keperluan bekalan bahan mentah untuk dijadikan makanan ternakan ikan keli di bawah program rehabilitasi agensi terbabit.
"Untuk makluman, kesemua serahan ini adalah daripada hasil sitaan pengimportan keluaran pertanian yang telah melalui proses undang-undang dan yang telah dilucut hak kerana tidak mematuhi aspek perundangan seperti mana yang tertakluk di bawah Seksyen 13 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).
"MAQIS tidak akan berkompromi terhadap semua barang dagangan yang membabitkan isu biosekuriti terutamanya yang membabitkan aspek halal," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut kenyataan itu, pegawai MAQIS di pintu masuk negara akan terus komited dan tegas dalam melakukan penguatkuasaan terhadap setiap pengimportan keluaran pertanian.
MAQIS berharap usaha itu dapat membantu jabatan dan agensi yang memerlukan.