Kangar: Polis membongkar kegiatan pemprosesan air ketum di Perlis selepas menyerbu sebuah rumah yang dijadikan 'port' kegiatan itu di Kampung Permatang Kersek, di sini, semalam.
Dalam serbuan jam 7 petang itu, polis turut menahan seorang pesawah berusia 32 tahun yang disyaki dalang dalam kegiatan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, serbuan dilakukan oleh sepasukan pegawai dan anggota polis dari Unit Risik Marin Kuala Kedah selepas menerima maklumat mengenai kegiatan itu.
"Serbuan menemui sejumlah besar air ketum dan peralatan memproses air ketum di rumah itu.
"Kita merampas sebanyak 190 bungkusan plastik dan 10 botol plastik berisi cecair disyaki air ketum.
"Turut ditemui tong berisi cecair disyaki air ketum dengan anggaran 14 liter serta peralatan memproses air ketum seperti tong gas, dapur gas, periuk, bekas tong serta baldi," katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, siasatan awal mendapati, suspek menjalankan kegiatan menjual air ketum kepada penduduk di sekitar Simpang Empat sejak 2019 dengan harga RM3 sebungkus.
Kes disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-dua sekali.