Noorazam (lima kiri, baris tengah) dan Nazar (enam kiri, baris tengah) bersama pelayar Johor dan ahli-ahli delegasi pasukan.
MIRI: Kontinjen Johor yakin raih 12 pingat dengan enam daripadanya ialah emas, dalam kesemua acara sukan yang disertainya di sini, menjelang SUKMA Sarawak 2024 yang bakal membuka tirainya esok di Miri.
Datuk Bandar Johor Bharu merangkap Timbalan Ketua Kontinjen 1 SUKMA Johor, Datuk Mohd Noorazam Datuk Osman, memberitahu Johor mensasarkan untuk memperolehi sekurang-kurangnya enam emas daripada enam acara sukan yang berlangsung di Miri.
"Sasaran utama kita ialah enam pingat dan enam pingat lagi '+' itu ialah bonus jika, kita dapat menukarkan perak kepada emas," katanya kepada Utusan Borneo, ketika ditemui di pusat acara perahu layar di Marina Bay di sini, hari ini.
Katanya, dengan ada enam acara dipertandingkan di Miri, seperti karate, pencak silat, ragbi, lawan pedang, sofbol dan pelayaran, tiada siapa akan tahu, sukan mana yang boleh melakukan kejutan dan membantu menyumbang tambahan emas, daripada pingat perak yang disasarkan.
"Apa yang penting ialah kita melakukan yang terbaik untuk mencapai sasaran dan sehingga kini, alhamdulilah, apabila saya sampai di Miri semalam, saya lihat persiapannya amat baik dan strateginya juga amat bagus.
"Bagi acara pelayaran ini, saya nampak persiapan dibuat dengan baik dan lancar, apatah lagi menerusi semangat goyong-royong, yang menyaksikan kerjasama amat bagi untuk persiapan menjelang kejohanan yang bermula pada 19 hari bulan ini," tambah beliau lagi.
Menjawab soalan, acara yang memberi kelebihan kepada Johor di Miri, Noorazam memberitahu pihaknya menaruh keyakinan tinggi kepada pasukan terkuat mereka iaitu ragbi dan sofbol wanita.
"Ini kerana kedua-duanya adalah juara Malaysia dan saya yakin kedua-duanya akan menyumbang emas," tambahnya.
Mengenai sukan pelayaran, jurulatih skuad Johor, Nazar Nassir, berkata pasukannya akan mengambil bahagian dalam empat acara, dengan menampilkan pemain termuda mereka yang berusia 13 tahun.
|