Pesara tentera maut, van pelancong terbabas rempuh pokok
Oleh Aizat Sharif - September 14, 2024 @ 10:49am [email protected]
Keadaan van pelancong yang terbabas dan merempuh sebatang pokok di KM9, Jalan Kangar-Alor Setar berhampiran Kampung Permatang Pauh, awal pagi tadi. - NSTP/AIZAT SHARIF
KANGAR: Seorang pesara tentera maut apabila van pelancong yang dinaikinya terbabas lalu merempuh sebatang pokok di Kilometer (KM) 9, Jalan Kangar-Alor Setar berhampiran Kampung Permatang Pauh, di sini, awal pagi tadi.
Dalam kemalangan kira-kira jam 4.30 pagi, mangsa dikenali sebagai Mohd Arshad Hanapiah, 73, dari Alor Setar disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dipercayai akibat kecederaan parah di badan dan kepalanya.
Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop, berkata insiden berlaku ketika van jenis Toyota Hiace itu sedang dalam perjalanan dari Alor Setar ke Krabi, Thailand, dipercayai untuk bercuti.
"Ketika kejadian, cuaca dilaporkan hujan dan van berkenaan dipandu oleh seorang lelaki berusia 29 tahun dari Sungai Petani, Kedah, dengan membawa tujuh penumpang termasuk mangsa yang berada di tempat duduk belakang kenderaan itu.
"Van terbabit sedang menuju ke arah Kangar, seterusnya ke Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar sebelum menghala ke Krabi.
"Namun setiba di lokasi kejadian, van berkenaan dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke sebelah kiri jalan sebelum melanggar sebatang pokok di bahu jalan.
"Impak kemalangan itu menyebabkan mangsa maut di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Bagaimanapun, Yusharifuddin berkata, pemandu van dan enam lagi penumpang dilaporkan hanya mengalami kecederaan ringan.
"Hasil siasatan awal di tempat kejadian mendapati lokasi kejadian agak gelap dan kurang pencahayaan lampu jalan, selain cuaca hujan lebat serta permukaan jalan basah.
"Namun, kita tidak menemui kesan brek di lokasi kejadian dan mendapati kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuaian pemandu van yang terbabas sendiri," katanya.
Beliau berkata, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah, di sini, untuk proses bedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2024/09/1298131/pesara-tentera-maut-van-pelancong-terbabas-rempuh-pokok
|