Edited by sfhzuraz at 17-9-2024 01:31 AM
Feri bawa lebih 500 penumpang selamat bergerak ke Langkawi malam ini
16 September 2024 10:32pm
Laporan Sinar Harian pada Isnin.
KUALA PERLIS - Sebuah feri dari Kuala Perlis ke Langkawi bagi perjalanan jam 2.30 petang yang membawa 567 penumpang terkandas di beting pasir petang tadi telah selamat bergerak ke Langkawi malam ini.
Pengurus Besar Langkawi Ferry Line Ventures Sdn Bhd, Kapten Dr Baharin Baharom berkata, feri penumpang itu dapat bergerak selepas berjaya ditarik bot tunda dan keadaan feri juga dinilai selamat untuk meneruskan perjalanan ke Langkawi pada jam 9.05 malam.
"Ketika feri ditarik bot tunda itu sudah berlaku air pasang dan keadaan penumpang pun semuanya baik dan kami menyediakan makanan dan minuman,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Bernama melaporkan yang sebuah feri membawa 567 penumpang ke Langkawi terkandas di beting pasir berikutan angin kencang di kedudukan 0.5 batu nautika dari Kuala Perlis hari ini.
Baharin berkata, feri itu ditolak angin kencang hingga membawa feri penumpang tersebut ke beting pasir itu selepas kira-kira 15 minit bertolak dari Jeti Kuala Perlis.
Beliau berkata, tiga perjalanan feri dari Langkawi ke Kuala Perlis malam ini iaitu jam pukul 8 malam, 8.05 malam dan 8.30 malam diteruskan seperti biasa yang melibatkan keseluruhan penumpang sebanyak 1,547 orang.
"Begitu juga perjalanan feri dari Langkawi ke Kuala Kedah, Kedah pada jam 7.30 malam dan 7.35 malam ini yang membawa 1,300 penumpang keseluruhannya berjaya digerakkan ke Kuala Kedah," katanya.
Sementara itu, Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis Komander Maritim Mohd Hashim Mat Zain berkata, anggotanya bersama aset Bot Perkasa 1240 telah digerakan ke lokasi kejadian untuk memberikan bantuan dan melakukan pemantauan pada jam 5.30 petang tadi.
"Situasi (petang tadi) di atas feri terkawal dan tiada kebocoran yang berlaku. Semua penumpang dalam keadaan selamat dan tiada kemalangan jiwa berlaku," katanya. - Bernama
https://www.sinarharian.com.my/article/685969/berita/semasa/feri-bawa-lebih-500-penumpang-selamat-bergerak-ke-langkawi-malam-ini
|