Jitra: "Saya minta bantuan jiran untuk membawa keluar suami, Esa Husein, berusia 74 tahun, yang lumpuh ketika rumah kami dinaiki air.
"Anak saya, Iza Rizal, berumur 43 tahun, pula orang kurang upaya (OKU) lembam. Syukur, kami dibawa keluar ke rumah berhampiran," kata Azizah Saad.
Azizah, 66, adalah penduduk Kampung Lubuk Ipoh, Malau dekat sini, yang dinaiki air sedalam kira-kira 0.5 meter akibat limpahan sungai selepas hujan lebat sejak semalam.
Menurutnya, banjir mula memasuki rumahnya, jam 4.30 petang, selepas hujan lebat berserta ribut berterusan melanda lebih tiga jam.
"Pada mulanya, air masuk secara perlahan dan saya berusaha menutup lubang di celah pintu dengan kain.
"Namun, ia bertukar deras dan saya terus mengemas barangan untuk diletak di tempat lebih tinggi.
"Dalam kesibukan mengemas bersama Iza Rizal, suami yang hanya boleh mengesot memaklumkan yang pinggangnya mula basah akibat paras air meningkat," katanya ditemui.
Azizah berkata, dia kemudiannya terus mendapatkan bantuan jiran serta ahli keluarga.
Katanya, ketika kejadian, hanya mereka bertiga di rumah manakala anak-anaknya yang lain keluar atas urusan masing-masing.