Imigresen Kedah sudah pantau pergerakan 'motorhome' berkaitan GISBH ke luar negara
Oleh Zuliaty Zulkiffli - September 19, 2024 @ 9:43am [email protected]
Dua kenderaan motorhome yang dinaiki lima individu yang ditahan polis dan JIM kerana disyaki mempunyai kaitan dengan GISBH. - Foto JIM
BUKIT KAYU HITAM: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah mengesahkan pihaknya turut dimaklumkan lebih awal maklumat berhubung pergerakan dua kenderaan rekreasi (motorhome) yang disyaki mempunyai kaitan dengan Global Ikhwan Services and Business Holding (GISBH), semalam.
Dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini, JIM Kedah berkata, maklumat yang diterima dimaklumkan kenderaan GISBH itu akan keluar dari negara ini melalui pintu sempadan Bukit Kayu Hitam, kira-kira jam 3 petang.
Menurut maklumat itu, pihak terbabit dijangka berhenti berhampiran Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Bukit Kayu Hitam.
Berikutan itu, pasukan penguat kuasa JIM Kedah segera bertindak berdasarkan maklumat ini dengan menjalankan siasatan dan mengesan dua motorhome yang membawa lima individu.
"Pemeriksaan awal mendapati kelima-lima individu itu adalah warga Malaysia berusia antara 29 hingga 45 tahun.
"Semakan rekod keluar masuk menunjukkan bahawa perjalanan terakhir mereka ke luar negara dilakukan pada 20 Ogos lalu melalui pintu sempadan sama.
"Walaupun tiada pelanggaran undang-undang Imigresen dikesan, JIM memutuskan untuk bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia kerana siasatan lebih lanjut (mengenai pihak berkenaan) sedang dijalankan," menurut kenyataan itu.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/09/1300154/imigresen-kedah-sudah-pantau-pergerakan-motorhome-berkaitan-gisbh-ke
|