Ribut di Sik: 100 rumah rosak, 81 kes pokok tumbang
Oleh Zuliaty Zulkiffli - September 19, 2024 @ 11:30am [email protected]
Keadaan rumah yang kehilangan bumbung akibat diterbangkan ribut di Sik. - Foto ihsan APM
SIK: Kira-kira 100 kediaman di daerah ini rosak termasuk bumbung tercabut akibat ribut susulan hujan lebat dan angin kencang semalam.
Kejadian membabitkan dua mukim di daerah ini dengan 73 rumah terjejas di Mukim Sik dan 27 lagi di Mukim Jeneri.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sik, Leftenan (PA) Haisul Aishah Mohd Napiah, berkata hujan sejak 15 September lalu menyebabkan pokok tumbang susulan struktur tanah lemah ditambah angin kencang semalam.
Beliau berkata, sehingga jam 10 pagi ini Pusat Kawalan Operasi APM Daerah Sik merekodkan 81 kes kejadian pokok tumbang.
"Dengan kerjasama pelbagai agensi penyelamat seperti APM, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Sik dan orang awam serta badan bukan kerajaan (NGO) Khidmat Malaysia Kawasan Sik berjaya menyelesaikan sebahagian besar kes diterima.
"Susulan ramalan cuaca waspada oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sehingga 21 September ini, orang awam diminta waspada dan peka dengan keadaan sekeliling," katanya hari ini.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/09/1300206/ribut-di-sik-100-rumah-rosak-81-kes-pokok-tumbang
|