Arau: Sebanyak RM33,195,600 kutipan zakat diagihkan kepada asnaf di Perlis sejak 2013 menerusi inisiatif Kayuhan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Peduli diketuai Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor berkata, baginda yang juga Yang Dipertua MAIPs turut mencipta sejarah apabila mengetuai 111 kali Kayuhan MAIPs Peduli sepanjang tahun lalu.
"Perkembangan itu menjadikan jumlah keseluruhan kayuhan kini sebanyak 978 kali sejak inisiatif ini dimulakan dalam tahun 2013 yang turut menyaksikan seramai 51,028 asnaf disantuni setakat ini di mana 5,563 daripada jumlah itu adalah pada tahun lalu.
"Dari segi agihan zakat pula, sebanyak RM3,894,100 diagihkan tahun lalu," katanya dalam kenyataan, hari ini bersempena sesi pembuka tirai Kayuhan MAIPs Peduli bagi tahun 2025 di Padang Katong, di sini, baru-baru ini.
Katanya, pihaknya turut meluahkan rasa bangga atas dedikasi baginda dan sokongan padu pelbagai pihak terhadap program ini.
Beliau berkata, inisiatif sejak 12 tahun lalu adalah peluang terbaik untuk mendekati masyarakat dan memahami cabaran mereka.
"Melalui kayuhan ini, kita dapat mengenal pasti keperluan sebenar masyarakat dan menyampaikan bantuan dengan lebih efektif," katanya.
Dalam program berkenaan baginda turut berkenan menyempurnakan sumbangan MAIPs kepada tiga orang asnaf terpilih di mana setiap asnaf menerima wang tunai sebanyak RM700, Kit MAIPs Peduli dan beras fidyah bagi menampung keperluan harian mereka.