![](https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20250205/lbg-ub050225-dm-jamri1.jpg)
Jamri (dua kiri) menyerahkan sijil penghargaan kepada Bomba Sukarela KABIMA Penghulu Ahmad Bini sambil disaksikan oleh Ramlan (kiri) dan Tawang (kanan).
LIMBANG: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak sudah mengarahkan 9,817 orang pegawai dan anggota termasuk bomba sukarela dan bomba komuniti untuk bersiap sedia menghadapi gelombang kedua banjir di Sarawak.
Pengarahnya Jamri Masran berkata kekuatan aset dan logisitik turut diperkukuh membabitkan sebanyak 295 aset darat, 211 aset sungai serta laut, 20 aset udara, 289 aset sokongan termasuk membabitkan agensi-agensi utama.
Jelasnya Monsun Timur Laut (MTL) diramalkan berlaku pada November lepas hingga Mac tahun ini dan Jabatan Meterologi Malaysia turut meramalkan kemungkinan gelombang banjir kedua di Sarawak akan berlaku pada 8 hingga 12 Februari ini.
“Kita akan mengalami banjir untuk fasa kedua dan kawasan yang diramalkan antaranya seperti Kuching, Sibu, Mukah, Miri dan Limbang sebagai persediaan menghadapi kemungkinan banjir gelombang kedua.
“Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) telah mengarahkan semua agensi utama untuk membuat persediaan termasuk JBPM Sarawak.
“Kita telah menyediakan lebih kurang 9,817 orang pegawai dan anggota disokong kekuatan 295 aset darat, 211 aset sungai serta laut, 20 aset udara dan 289 aset sokongan,” katanya ketika ditemui media selepas Perhimpunan Tahunan Zon Tujuh serta Lawatan Kerja Rasmi ke JBPM Limbang, hari ini.
Turut hadir, Ketua JBPM Zon Tujuh Ramlan Marajan, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Limbang Tawang Lingem dan Ketua BBP Lawas Clarence D.Primus Tiandun.
Terdahulu, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas mahu rakyat di Sarawak sentiasa berwaspada terhadap kemungkinan gelombang kedua banjir membadai negeri ini.
Kata Uggah, semua agensi diingatkan untuk sentiasa bersiap sedia dari segi aset dan logistik di bawah tanggungjawab masing-masing bagi menghadapi sebarang kemungkinan bencana terutama gelombang kedua banjir.
Pelbagai aktiviti diadakan termasuk penyerahan sijil penghargaan kepada rakan strategik JBPM Zon 7.
|