|
Judul: Kung Fu Panda 2\rPelakon (suara): Jack Black, Angelina Jolie, Dustin Hoffman, Jackie Chan, Lucy Liu, Seth Rogen, David Cross, Datuk Michelle Yeoh, Jean-Claude Van Damme, Dennis Haysbert, Victor Garber, Gary Oldman\rPengarah: Jennifer Yuh\r\n\n\n\nPenulis: Jonathan Aibel, Glenn Berger\rGenre: Animasi, aksi, pengembaraan, komedi\rDurasi: 90 minit\r\n\n\n\n\nTayangan: Mulai 26 Mei 2011\rSELEPAS kejayaan filem pertamanya pada 2008 yang mencatatkan kutipan lebih AS$633 juta (RM1.92 bilion) di seluruh dunia, studio Dreamworks Animation meneruskan legasi filem berkenaan dengan menerbitkan susulan, Kung Fu Panda 2.\rPopulariti hebat beruang panda yang mempunyai ramai pengikut di seluruh dunia terutama kanak-kanak menyebabkan Dreamworks Animation tidak mahu menunggu lama untuk menerbitkan sekuelnya. Memulakan produksi sejak Oktober 2008, Kung Fu Panda 2 masih lagi mengekalkan sebahagian besar penyumbang suara untuk semua watak utama dalam filem ini.\rMereka yang dimaksudkan ialah Jack Black yang membawa watak utama Master Po, Angelina Jolie (Tigress), Dustin Hoffman (Master Shifu), Jackie Chan (Monkey), Lucy Liu (Viper), Seth Rogen (Mantis) dan David Cross (Crane).\r\n\n\n\n\rBagi memeriahkan lagi filem kedua ini, beberapa pelakon turut menyumbangkan suara mereka untuk beberapa watak baru antaranya Datuk Michelle Yeoh sebagai The Soothsayer, Jean-Claude Van Damme (Master Croc), Dennis Haysbert (Master Storming Ox), Victor Garber (Master Thundering Rhino) dan Gary Oldman (Lord Shen).\rKung Fu Panda mengambil kisah kehidupan Po, guru dan kawan-kawannya selepas dia berjaya menjadi The Dragon Warrior yang diidamkan selama ini. Namun, kegembiraannya tidak lama apabila semua wilayah China digugat seorang penjahat, Lord Shen, yang menggunakan senjata rahsia untuk menakluk China dan memusnahkan seni mempertahankan diri kungfu.\rPo dan pasukannya perlu melunaskan tanggungjawab bagi memastikan keadaan kembali aman. Bagaimanapun, laluan yang terpaksa ditempuhi Po dan rakan-rakan, tidaklah semudah yang disangka. Bahaya menanti dan hampir saja nyawa mereka menjadi taruhan.\rMasih mengekalkan unsur komedi yang memang menjadi inti pati filem ini, namun untuk sekuel ini, pengarah cuba menyuntik elemen melankolik apabila turut diselitkan babak Po mencari asal usul dirinya selepas gambaran kisah silam sering menghantui dirinya.\rDalam kelucuan apabila disajikan babak sifat kelam kabut dan bodoh-bodoh alang Po, tidak mustahil juga penonton mampu mengalirkan air mata apabila menyaksikan peristiwa imbas kembali bagaimana Po kehilangan orang tuanya sebelum dipelihara bapa angkatnya, The Goose.\rWatak Po berkembang dengan baik. Walaupun ada ketika sikapnya itu membuatkan penonton sakit hati, pada masa sama, perasaan simpati terhadapnya melimpah-ruah, terutama selepas mengetahui sejarah silamnya yang menyayat hati.\rBagaimanapun, yang lebih menarik ialah panda ini semakin hebat berkungfu. Lihat saja babak pertarungannya bersama Lord Shen pada penghujung cerita. Adegan itu dikira cukup mengagumkan.\rSeperti biasa, Dreamworks tidak pernah gagal dalam menghasilkan bentuk animasi yang berkualiti serta nampak hidup. Keindahan China digambarkan dengan cukup kemas, sehinggakan kita bagai terasa seperti berada di lokasi berkenaan. Bukan saja kemas, tetapi juga dilakukan dengan penuh teliti terutama membabitkan babak aksi.\rJalinan plot filem ini cukup lancar dan amat mudah untuk difahami, sesuai untuk tontonan kanak-kanak. Kepada peminat beruang panda comel ini, pastikan anda tidak ketinggalan menonton filem yang sudah pun menjengah pawagam minggu lalu. Dijamin menghiburkan.
[Posting Asal] [Kembali ke Berita Rakyat] [Pump!]
|
|