|
Lakukan tiga tugas serentak\rNALURI seorang ibu bukan saja jelas terpancar daripada jernih retinanya, tetapi turut mengalir deras dalam darah wanita ini. Sejak kelahiran puteri sulungnya, Khyra Khalyssa, 13 bulan lalu, pelakon jelita Wan Intan Edrinas Mokhtar atau lebih mesra disapa Dynas mengakui putaran hidupnya kini berubah sebanyak 180 darjah berbanding asal. \r\n\n\n\n\rDaripada seorang wanita yang mengabdikan keseluruhan hidupnya kepada kerja, kini seluruh hidupnya diserahkan untuk buah hatinya yang comel itu.\r\r\n\n\n\n\nKehadiran Khyra menjadikan Dynas lebih prihatin terhadap tanggungjawab sebagai seorang ibu. Kalau dulu, ketika belum mempunyai anak dia bebas untuk membuat keputusan, tapi selepas bergelar ibu, kepentingan Kyra mengatasi segala-galanya.\r“Sebelum ini, ketika tak ada anak, saya boleh berada di lokasi penggambaran sehingga lewat pagi. Tapi bila sudah ada Kyra, saya sendiri menetapkan kepada pihak produksi yang ingin mengambil saya berlakon supaya melepaskan saya pada jam 11 malam kerana saya mahu bersamanya. Sebagai ibu, saya rasa adalah perlu untuk saya berada di sisinya.\r“Walau sibuk macam mana pun, saya tetap pastikan yang Khyra perlu diberi perhatian sewajarnya. Jika saya pergi ke butik pun, saya pasti akan membawanya bersama dan membiarkan dia bermain di kawasan persekitaran,” kata Dynas yang begitu teruja menceritakan perasaannya bergelar ibu.\rMungkin bagi sesetengah pihak menganggap, status selebriti yang dipegang Dynas membolehkan tanggungjawab mengasuh anak itu diserahkan kepada pembantu. Maklum sajalah, kesibukan di lokasi dan juga di butik mungkin membuatkan dia tidak mempunyai masa yang cukup untuk melakukan tugasan itu. Namun pendapat nakal itu disangkal sekeras-kerasnya oleh Dynas.\r\n\n\n\n\r“Dalam hal ini kita kena bijak dalam hal pengurusan masa. Macam saya yang perlu melakukan tiga tugas serentak iaitu menjadi pelakon, ibu dan juga usahawan, saya kena pandai menguruskan masa. Tidak sukar jika kita bahagikan masa dengan betul. Bagi saya, walau sesibuk mana pun dengan kerjaya, tanggungjawab sebagai ibu tidak boleh kita lupakan.\r“Saya tidak mahu melepaskan detik indah seorang ibu apabila anaknya semakin membesar. Apabila dia pandai berjalan, mula bercakap, sejak bila rambutnya panjang, semuanya itu saya mahu saksikan sendiri. Tak mahulah saya mendapat tahu mengenai perkara itu menerusi pengasuh semata-mata. Lagipun, jika kita sendiri yang mengambil berat soal anak, sekurang-kurangnya jika ada sesuatu yang berlaku padanya, contohnya masalah dalam peringkat tumbesaran, kita boleh kesan lebih awal dan rujuk pada doktor,” katanya yang kini sedang sibuk di lokasi penggambaran drama seram, Khurafat The Series.\rPengalaman mengasuh dan mendidik anak sulungnya itu turut dikongsi bersama orang ramai menerusi program bercorak keibubapaan yang dikendalikannya iaitu Si Kecil Ku Chakk! di TV3, yang kini sudah pun memasuki musim ketiga. Kata Dynas, selain berkongsi pengalaman sendiri, program itu juga turut memberi panduan berguna padanya untuk dimanfaatkan dalam kehidupan seharian.\r“Saya seronok mengacarakan program ini kerana ia banyak menurunkan ilmu kepada mereka, terutama golongan ibu bapa yang menontonnya. Bukan saja pandangan daripada mereka yang pakar mengenai kanak-kanak kami paparkan, tetapi kamu juga memberikan panduan yang berguna,” kata pengusaha butik berkaitan penyusuan susu ibu iaitu Dynas Nursing Attire (DNA) yang terletak di pusat membeli belah The Curve.\rBeralih kepada butik yang baru beroperasi itu, pemenang kategori Pelakon TV Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2007 dan 2008 ini begitu teruja apabila butik yang diusahakannya itu mendapat sambutan yang menggalakkan. Maklum balas itu, katanya, menunjukkan wanita kini begitu prihatin untuk menyusukan bayi mereka.\r“Semua pakaian yang dijual di butik ini memudahkan wanita untuk menyusukan anak mereka. Semuanya adalah hasil rekaan saya sendiri. Selalunya saya mendapat ilham untuk mereka pakaian ini ketika berada di lokasi ataupun mana-mana majlis yang saya sertai.\r“Insya-Allah, saya kini merancang untuk membuka satu lagi cawangan DNA, kemungkinan besar di Shah Alam,” ujar Dynas sambil memberitahu butik D&A: Celebrity di Hartamas, D&A Fashion Cafe dan juga di Empire Shopping Gallery sudah pun dibubarkan.\rKembali kepada drama seram\rLAKONAN yang dipaparkan Dynas drama Susuk bukan saja meninggalkan kesan mendalam di hati penonton, malah pada dirinya sendiri. Akui Dynas, memang sukar untuknya melupakan watak Cinda yang mengamalkan ilmu hitam dengan memakai susuk supaya kelihatan cantik. \rDisebabkan kesukaran untuk melepaskan watak itu daripada dalam dirinya, membuatkan si empunya diri terpaksa melupakan seketika tawaran yang mahukan dirinya berlakon di dalam drama bergenre seram.\rBagaimanapun, selepas terbabit dalam drama komedi seram, You Saka Pergi Jauh-Jauh, pintu hati Dynas bagai terbuka kembali untuk berlakon dalam genre seram yang pernah dilupakannya dulu.\r“Watak Cinda membuatkan saya terpaksa mengatakan tidak untuk tawaran berlakon dalam drama seram. Bagaimanapun, drama You Saka Pergi Jauh-Jauh membuatkan pintu hati saya kembali mahu berlakon dalam drama sebegitu. Disebabkan itulah saya menerima tawaran untuk berlakon dalam drama bersiri Khurafat yang akan disiarkan di Astro Ria.\r“Dalam drama itu, saya memegang watak Faridah, seorang bomoh yang mewarisi ilmu hitam daripada ibunya. Watak saya penuh dengan dendam apabila saya sanggup melakukan apa saja termasuk membunuh bagi melunaskan segala dendam yang ada,” kata Dynas mengenai drama arahan Syamsul Yusof itu.\rDitanya tidakkah dia mengalami kejadian pelik ketika menjalani penggambaran drama itu, Dynas memberitahu, persediaan sudah pun dilakukan bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku.\r“Apa yang penting, kita jangan leka dan sentiasa beringat. Lazimnya selepas pulang dari lokasi, saya akan mandi terlebih dulu. Maklum sajalah, kami shooting sampai jauh malam dan lokasinya pula jauh,” cerita Dynas.\rKhurafat mengisahkan Johan dan Mastura yang mengikat perjanjian sehidup semati dengan melakukan upacara menjamu darah mereka pada satu busut. Sebagai balasan, hati mereka akan tertutup untuk jatuh cinta dengan orang lain. Malangnya, belum sempat Johan melamarnya, Mastura terbabit dalam kemalangan menyebabkannya koma dan Johan dapat berasakan perubahan berlaku pada dirinya. Dia perlahan-lahan dapat melihat makhluk dari alam lain seperti jin dan roh.\rDrama sebanyak 13 episod disiarkan setiap Selasa, menerusi saluran Astro Ria (Saluran 104), mulai 12 Julai.
[Posting Asal] [Kembali ke Berita Rakyat] [Pump!]
|
|