|
Waheeda selesa bergelar isteri, tidak rindukan dunia seni\rSEAKAN baru semalam Akhil Hayy dan Waheeda mencetuskan kontroversi gara-gara menjalin hubungan intim dalam diam. Namun antara sedar dan tidak, perkahwinan yang dibina atas dasar cinta itu sudah hampir memasuki usia dua tahun.\r\n\n\n\n\rBiar usia perkahwinan kian matang tahun demi tahun, namun rumah tangga yang dibina pada Ogos 2009 itu masih kuat disulam kasih sayang tidak bertepi. Ketika hadir pada majlis pelancaran program baru kelolaan Akhil berjudul Cubaan untuk Astro Oasis, Isnin lalu, Waheeda turut hadir memberikan sokongan.\r\r\n\n\n\n\nSempat seorang teman membisikkan ke telinga penulis kekagumannya terhadap pasangan ini lantaran sejurus selesai sidang media, mereka berdua merancang mahu meluangkan waktu menonton wayang bersama.\rMungkin kerana dua anak di bawah jagaan masih di sekolah, dapat mereka meluangkan waktu untuk berdua-duaan. Memang tergambar kebahagiaan pada pasangan ini apabila Waheeda kelihatan cukup manja di sisi suami. \rKetika yang sama, barangkali sudah lama tidak ditemubual, Waheeda nampak gugup lalu meminta suaminya terus berada di sisi menemaninya menjawab pertanyaan wartawan. Bagaimanapun Akhil tidak dapat menemani kerana perlu memenuhi sesi temuramah bersama sebuah stesen televisyen. Namun sebelum berlalu pergi, sempat Akhil memujuk sambil mengusap penuh lembut belakang isterinya supaya bertenang.\rMalah sempat dia berseloroh, jika ada wakil media cuba mengusiknya, mereka akan menerima balasan daripadanya.\r\n\n\n\n\rSejak mengambil keputusan untuk berumah tangga pada usia 30, Waheeda membuat keputusan untuk meninggalkan terus dunia seni. Keputusannya itu jelas sekali mengejutkan banyak pihak, khususnya peminat penyanyi lagu Wassini itu. Keputusannya untuk berimej purdah, sekali lagi mencetuskan pertanyaan di kalangan masyarakat. \rNamun akui wanita peramah yang berpurdah kerana mengikut jejak iasteri Rasulullah ini, tidak terbit sedikit pun sesalan di jiwa apabila dia meninggalkan dunia glamor. Sebaliknya ujar anak jati Johor itu, dia kini lebih tenang dengan haluan hidupnya sekarang.\r“Alhamdulillah, saya kini lebih tenang serta lebih takut dengan Allah selepas mengetahui wanita dilarang melunakkan suara di depan orang. Tidak sedikit pun saya berasa rugi meninggalkan bidang nyanyian. Kini saya banyak memberikan tumpuan pada perniagaan jubah secara talian dan saya juga lebih selesa melakukan kerja di belakang tabir seperti menghasilkan lagu untuk album suami.\r“Setakat ini tidak pernah lagi terbit perasaan rindu untuk kembali menyanyi mahupun berlakon. Ada ketikanya saya rindukan rakan yang pernah berlakon bersama-sama. Cuma saya berharap sekiranya saya mati nanti, janganlah ditayangkan filem mahupun diputarkan lagu-lagu saya. Saya tidak mahu diseksa di dalam kubur nanti,” kata Waheeda yang menghasilkan dua lagu iaitu Subahanak dan Ighfir Zunubi.\rBerbicara soal cahaya mata pula, wanita ini ternyata reda dengan rezeki dikurniakan Tuhan. Lambat mahupun cepat, selagi Allah tidak mengizinkan, kata wanita ini, dia reda. Malah hidupnya tidak pernah sunyi dengan kehadiran dua cahaya mata daripada perkahwinan terdahulu suaminya.\rBelum ada rezeki timang anak\rBAGI si suami pula, dia sudah memiliki empat cahaya mata. Justeru, dia tidak begitu terdesak untuk menimang anak kecil. Apatah lagi, dua anaknya juga kini berada di bawah jagaannya. Malah dia bangga kerana Waheeda berjaya menjalankan tanggungjawab sebagai seorang ibu dengan cukup baik.\r“Dalam rumah tangga, setiap pasangan itu tidak terlepas daripada diuji. Apa yang penting, cara masing-masing menanganinya. Alhamdulillah saya amat mengenali dirinya. Saya lebih mengenali isteri selepas kami berumah tangga. \rSetakat ini tiada masalah, malah dia santai saja. Kita tidak terdesak mahukan anak, kecuali orang di sekeliling yang suka mendesak. \r“Mungkin belum ada kurniaan dari Allah lagi. Nabi Allah, Ibrahim sendiri pada usia 80 tahun baru berpeluang menimang cahaya mata. Lagipun saya sudah ada empat anak, jadi tidak perlu terburu-buru. Isteri juga berjaya melayan mereka dengan baik dan penuh kasih sayang seperti anak sendiri,” kata Akhil yang kini sibuk menguruskan perniagaan berkaitan urusan umrah.\rSelain sibuk dengan perniagaan, dia kini kembali menghiasi kaca televisyen dengan program terbaru, Cubaan, yang menemui penonton bermula Sabtu ini. Cubaan ialah sebuah program mengenakan orang ramai, tetapi dalam bentuk keislaman. \rBagaimanapun, tujuan program itu bukanlah untuk memalukan, sebaliknya setiap episod disusuli dengan penutup yang dapat memberi pengajaran.\r“Saya terima tawaran ini kerana programnya berbentuk santai yang tidak memerlukan saya berserban atau berjubah. Saya juga menerimanya kerana kena dengan hati nurani saya. Terbabit dalam program ini bukan sesuatu yang mudah kerana kita tidak tahu apa yang ada di dalam jiwa orang yang terkena. Antara adegan yang kita tonjolkan dalam program ini ialah aksi seorang wanita hendak bersalin ketika sedang membeli belah. \r“Bagaimanapun, orang yang lalu lalang buat tidak tahu sehinggalah seorang warga tua berbangsa India, menjerit meminta bantuan orang ramai supaya membantu wanita itu. Sedangkan kebanyakan orang yang berbangsa Melayu dan beragama Islam hanya buat tidak tahu kepada mangsa yang seagama. Walaupun ketika itu kamera sudah dikeluarkan dari persembunyian, warga tua berkenaan masih terus panik.\rItulah antara isi kandungan Cubaan, malah banyak lagi adegan menarik yang akan ditonjolkan,” kata Akhil.\rTurut hadir pada majlis sidang media berkenaan Pengurus Saluran Astro Oasis, Izelan Basar.
[Posting Asal] [Kembali ke Berita Rakyat] [Pump!]
|
|