|
FDI tunjuk peningkatan 96.1 peratus suku pertama 2011\rLAPORAN pertumbuhan indeks pengeluaran perindustrian (IPP) serta eksport Mei baru-baru ini mula menunjukkan sektor luaran negara kini berdepan penyusutan susulan kesan permintaan luar negara yang merosot. \r\n\n\n\n\rBagi rekod, IPP pada bulan Mei sudah menurun 5.1 peratus berbanding bulan sama tahun lalu. \r\r\n\n\n\n\nSementara itu, walaupun pertumbuhan eksport negara masih kekal positif pada 5.4 peratus, namun begitu ia menyusut daripada 11.1 peratus yang dicatat pada bulan sebelumnya. \rPerkembangan itu menyebabkan Bank Negara Malaysia bertindak mengekalkan kadar dasar semalaman atau OPR pada paras tiga peratus seperti diumumkan baru-baru ini. \rSebagai negara ekonomi terbuka, tentunya penyusutan dagangan antarabangsa dilihat sebagai ancaman kepada momentum pertumbuhan ekonomi negara. \rIa berikutan, prestasi ekonomi dunia seperti di Amerika Syarikat (AS) dan negara Eropah masih bergelut dengan masalah hutang kerajaan. \rSelain itu, negara Asia utama seperti China dan India masih berdepan dengan masalah kenaikan kadar inflasi yang menyaksikan peningkatan kadar faedah serta rizab berkanun secara berterusan. \rWalaupun begitu, suasana permintaan domestik masih menunjukkan perkembangan sihat, berdasarkan kadar pengangguran yang kekal stabil pada tiga peratus pada April berbanding 3.4 peratus pada Januari lalu. \rSelain itu, jumlah gaji di bayar dalam sektor pembuatan cenderung mencatatkan pertumbuhan positif sebanyak 5.2 peratus, justeru, menggambarkan perbelanjaan swasta mampu memberi sumbangan tinggi terhadap pertumbuhan ekonomi pada suku kedua 2011. \rKegiatan pelaburan swasta juga diramalkan kekal pada tahap yang baik berdasarkan petunjuk ekonomi terkini. \rMisalnya, pelaburan langsung asing (FDI) menunjukkan peningkatan yang agak memberangsangkan iaitu sebanyak 96.1 peratus pada suku pertama tahun ini berbanding pada tempoh sama tahun lalu. \rAntara sektor yang banyak menyumbang terhadap kenaikan FDI ini adalah sektor pembuatan, minyak dan gas serta kewangan dan insurans yang merangkumi 89.9 peratus daripada jumlah FDI. \rSelain itu, program transformasi ekonomi (ETP) menunjukkan pelaburan terkumpul sebanyak RM170.3 bilion mampu menjadi pemangkin terhadap aktiviti pelaburan swasta. \rPelaburan swasta akan terus menjadi teras terhadap pertumbuhan ekonomi negara, selepas pergantungan terhadap pertumbuhan sektor luaran akan menyebabkan negara terdedah terhadap risiko penguncupan di dalam eksport.\rSelain itu, pergantungan terhadap pertumbuhan perbelanjaan swasta juga dijangka menghadapi cabaran getir memandangkan kadar inflasi serta tahap hutang isi rumah yang tinggi. \rJusteru, amat penting bagi mengekalkan suasana pelaburan yang kondusif khususnya bagi memastikan kemasukan FDI yang dijangka akan terus memacu pertumbuhan ekonomi melalui pemindahan teknologi serta peningkatan dalam jumlah pekerjaan yang di tawarkan kepada rakyat Malaysia. \rPenulis ialah Penganalisis Ekonomi di Malaysian Rating Corporation Bhd (MARC)
[Posting Asal] [Kembali ke Berita Rakyat] [Pump!]
|
|