“Maaf uncle. Nah ambil ini borang, uncle kasi tulis alamat dan semua maklumat lepas tu kasi sama saya balik itu borang sama bungkusan, ya.” terang Nuran Syaziah. Lembut sahaja suaranya walaupun hatinya sedikit kepanasan. Pelanggan selalu betul.
Terus sahaja pelanggan itu berlalu ke meja kosong yang disediakan. Setelah hampir beberapa minit lelaki itu menyerahkan bungkusan kepadanya dan berlalu pergi. Tinggallah Nuran Syaziah dan rakan-rakannya yang lain di situ meneruskan kerja-kerja mereka sehinggalah jam di dinding pejabat pos itu menunjukkan pukul 5.00 petang.
“Hallo cik.” Macam kenal sahaja Nuran Syaziah dengan suara itu. Dia mendongakkan kepala melihat ke arah lelaki itu.
“Oh uncle. Ya, apa mau?” soal Nuran Syaziah dengan penuh hemah.
“Mahu tanya, itu barang yang pagi tadi saya kasi sudah sampai ka?” tanpa rasa bersalah lelaki itu menanyakan soalan yang jika orang lain pasti sudah dihambur dengan makian. Muka Nuran Syaziah sudah kemerah-merahan menahan geram. Tetap sahaja dia memaniskan muka.
“Uncle, itu barang pagi hantar mana boleh sampai ini petang. Kan sudah ada tulis dekat itu borang, ‘dijamin sampai esok’ bukan petang ni, uncle.” Dengan senyuman manis dia menuturkan ayat itu. Hamzah yang berada di sebelahnya hanya menahan diri dari mengahmburkan gelak. Merah muka Hamzah saat itu.
“Itu macam ka. Sorry, saya mahu tanya saja.” Lelaki itu terus melangkah pergi. Hamzah terus sahaja terburai gelaknya. Nuran Syaziah juga sudah tidak dapat menahan dan turut menyertai Hamzah. Macam itu punya orang pun ada ke?
“Miau…” bunyi yang terhasil dari moni. Kucing itu menggigit manja kaki tuannya yang sedang lena diulit mimpi itu. Hilang dengan sekelip mata mimpi Nuran Syaziah. Nampaknya kejadian semalam telah berjaya menembus ke dalam mimpinya.
“Ish, kacaulah kau ni moni. Kenapa?” Nuran Syaziah terus sahaja bangun dan kini duduk bersila di atas katilnya. Dia merenung kucing kesayangannya. Nasib baik kucing kesayangan, kalau tidak sudah lama kucing itu tinggal di pasar.
“Miau,” kata moni lagi. Kalaulah kucing itu bercakap pastinya tidak cukup tanah tuannya lari nanti. Moni menuju ke pintu bilik. Mata Nuran Syaziah juga terarah ke sana. Patutlah, pintu biliknya tertutup. Pasti moni mahu ke tandas. Bergegas Nuran Syaziah bangun dari katilnya menuju ke pintu.
Last edited by wipers81 on 13-1-2014 07:56 PM
|