5 Ramadhan dua tahun dulu…
“Ling bangun! Ada api!!” Ah Wat yang terkejut dengan bau asap mula terjaga dari tidur. Dia melihat api telah marak dari arah dapur.Sempat jeling jam di dinding. 4.35 pagi.
“Hah! Api??? Anak kita! Mana anak kita??” Ah Ling mula kelam kabut mendapatkan anak –anaknya yang masih tidur di bilik atas. Malam itu dia dan suaminya tidur di bilik belakang kedai di tingkat bawah.
Mereka berdua segera ke tingkat atas sambil menjerit nama anak-anak yang nyata tidak sedar apa yang telah berlaku. Ah Ling mengetuk bertalu-talu bilik anak sulungnya, Ah Deng. Dia mula batuk bila asap semakin menebal yang mula memenuhi tingkat atas. Sebaik pintu dibuka, Ah Ling cepat-cepat menyuruh anaknya menolong suaminya yang sedang bersusah payah membuka pintu bilik anaknya yang lain.
“Deng! Cepat tolong papa buka pintu ni!” Ah Wat cuba menendang pintu bilik anaknya yang berkunci. Ah Deng juga turut sama menendang pintu dengan kuat.
Ah Ling hanya melihat sambil menangis. Di kepalanya kini hanya inginkan keselamatan anak-anaknya saja. Segala barang berharga bukan lagi menjadi keutamaan tika ini. Dia lihat api mula marak. Kedengaran suara jiran mula menjerit . Api! Api!
Baru teringat,waktu begini jiran-jirannya sudah bangun untuk bersahur. Asap semakin banyak memenuhi ruang atas. Ah Ling semakin panik.Pintu bilik anaknya tidak dapat dibuka. Puas suaminya dan anak sulungnya menendang dan mengopak tombol pintu. Masih tidak berhasil.
“Macam mana ni!!” Ah Ling mula risau. Anak-anaknya masih berada di dalam. Mereka cuba memanggil nama mereka dengan kuat. Menjerit sampai dirasakan sudah tiada suara lagi. Masih tiada apa-apa. Terbatuk-batuk kerana menyedut asap yang semakin tebal.
“Macam mana pintu tu boleh berkunci? Masa saya masuk sebelum tidur tadi, elok je pintu tu!Saya tak kunci pun!” Ah Ling mula teringat ketika dia masuk ke bilik anak-anaknya untuk memberi ciuman selamat malam sebelum tidur.
“Aduh! Macam mana ni???” Ah Wat pula hilang arah tuju. Buntu!
“Hah! Tu bomba dah sampai!” Ah Deng mula menyampuk bila mendengar siren kuat berbunyi. Dia terbatuk-batuk. Asap semakin tebal.
“Papa! Kita kena turun ni! Api dah kuat tu!”
Ah Wat hanya mengangguk. Dia segera menarik tangan isterinya turun ke bawah.
Ah Ling terus merentap tangannya dari genggaman suaminya. Dia menangis teresak-esak. “Anak kita macam mana??”
“Ling..api sudah kuat. Kita kena selamatkan diri. Ah Dang dan Ah Dong dah tak boleh diselamatkan lagi.” Ah Wat cuba memujuk.
“Tapi saya nak anak saya!!!” Ah Ling meluru ke bilik anaknya semula.
Ah Wat segera tarik tangan isterinya dan terus menuju ke bawah meredah api yang semakin marak. Anak sulungnya sudah berada di luar rumah bersama jiran-jiran yang turut sama membantu.
Ah Wat segera mendapatkan pegawai bomba supaya menyelamatkan anaknya yang masih berada di tingkat atas. Dua orang pegawai bomba mula meredah api yang marak namun tidak berhasil mengeluarkan mangsa kerana api marak terlalu cepat. Pihak bomba masih menyembur air ke arah rumah yang sedang terbakar. Tiba-tiba satu letupan kuat berlaku. Api menjulang tinggi dengan asap hitam berkepul-kepul. Setengah jam kemudian, api dapat dipadamkan. Pihak bomba mula mencari mayat kanak-kanak yang terbunuh bila dimaklumkan oleh Ah Wat.
Sebaik mayat kedua kanak-kanak itu dijumpai, pegawai bomba mengarahkan ia diletak di tepi. Ah Wat dan isterinya segera ke tempat mayat diletakkan tadi. Isteri Ah Wat terus pengsan bila melihat keadaan mayat anaknya yang sudah rentung.
Jiran-jiran turut sebak melihat keadaan mayat yang begitu menyayat hati. Ibu mana yang tidak pengsan bila melihat anak yang dilahirkan mati begitu. Ah Wat masih tergamam.Dia peluk kawannya yang berdiri di sebelahnya sambil menangis. Sudah buntu!
Last edited by Ipo on 5-7-2014 12:46 AM
|