Lapan kerusi di sekeliling meja makan bulat kususun atur seeloknya. Meja itu sebenarnya agak besar untuk keluarga baruku yang masih kecil. Kami hanya berdua sebenarnya, masih segar sebagai pengantin baru kononnya...
Tiga hidangan aku sediakan kali ini bersama dua jenis minuman. Semangkuk asam pedas ikan patin menjadi menu utama hari ini, sedap, lembut isinya dan manis! Kacang panjang goreng yang ditambah hirisan halus daging menjadi pilihan untuk sayur dan sambal petai udang mencukupkan rasa. Tidak bermewah, cukuplah bersederhana sementelah kami berdua sahaja. Bandung dan teh panas menjadi pilihan setiap hari untuk kami berdua. Air mineral tentulah semestinya untuk kesegaran dan kesihatan tubuh.
15 minit lagi waktu untuk kami berbuka puasa. Teringat pula kata-kata ustazZaharuddin Abd Rahman dalam kuliahnya tempohari, doa akan menjadi bertambah maqbul sekiranya dipohon tatkala ingin berbuka puasa. Katanya lagi, ini bukannya omongan kosong tetapi sudah jelas termaktub dalam sebuah hadis;
إن للصائم عند فطره دعوة لا ترد
Ertinya : "Sesungguhnyabagi orang berpuasa itu ketika berbuka (atau hampir berbuka) doa yang tidakakan ditolak" ( Riwayat Ibn Majah, no 1753, Al-Busairi : Sanadnya sohih)
Detik hatiku, maka inilah waktunya yang terbaik untuk berdoa, sebelum kami menyuakan tamar saat azan Maghrib kedengaran nanti. Aku mula berdoa, memohon agar jodoh kami diperpanjangkansehingga ke penghujung nyawa, insyaAllah!
Naufal, suamiku, hanya sempat bergelar kekasih hanya untuk beberapa bulan sahaja sebelum dia menukar status menjadi lelaki yang halal buat diriku. Jodoh yang amat mudah, perkenalan sekitar lapan bulan sahaja sudah cukup untuk kami membuat keputusan mendirikan rumahtangga. Mungkin juga kerana mengambil kira faktor ibu mertuaku yang sedang sakit pada waktu itu menyebabkan dia menyarankan agar ikatan perkahwinan kami disegerakan.
Dua bulan usai kami sah menjadi suami isteri, ibu mertuaku telah kembali ke rahmatullah. Sedih, kerana dia merupakan seorang ibu mertua yang sangat baik. Begitulah kehidupan, yang hidup pastinya akan mati. Takdirnya, kami menerima pusaka untuk mendiami rumah mentua ini. Ayah mertua sememangnya tidak betah untuk tinggal di sini kerana sering saja terbayang-bayang wajah ibu di mana-mana sahaja di dalam rumah ini, begitulah sebuah kerinduan yang sarat. Lalu dia memutuskan untuk merantau buat seketika ke Yaman, mengubat kerinduan dengan menuntut ilmu ukhrawi dengan lebih sempurna. InsyaAllah, sejahteralah hendaknya ayah mertuaku di sana.
Kami anak-anak di sini turut mendoakan semoga ayah bertemu jodoh sekali lagi, kasihan melihat dirinya yang kurang terurus.
Tiga minit menghampiri waktu berbuka, ketukan di pintu rumah menjentik lamunan seketikaku. Encik suami baru balik! Aku cepat-cepat menuju ke pintu dengan sebuah senyuman yang sudah melebar.Tetapi bukan dia! Kakak iparku bersama anak sulongnya tercegat di depan pintu.
“Assalamualaikum...Naufal dah balik?”
“Belum kak...kenapa kak? Akak nak jumpa dia ke? Sekejap lagi baliklah kot...dia memang selalu balik lambat kak.”
“Mmm...akak bukan nak jumpa Naufal...tapi memang nak jumpa Farah pun...”
“Ohh...kenapa ya kak? Jemputlah masuk dulu kak...dah nak masuk waktu berbuka ni.”
Nampaknya kami bertiga saja berbuka puasa pada petang ini, nasib baiklah Kak Zie dan anaknya, Adib ada datang, tidaklah aku berbuka keseorangan.
“Farah, sebenarnya Naufal tak balik rumah petang ni,” kak Zie bersuara perlahan usai habis sudah sebiji tamarnya. Aku terbatuk kecil.
“Kenapa kak?” Suaraku sedikit tenggelam. Sudah terbayang-bayang di fikiran pelbagai kemungkinan. Usia perkahwinan kami belum lagi sampai setahun. Ujian apakah yang sedang perlu aku hadapi ini? Naufal kemalangankah? Naufal balik ke rumah ... Oh, tak mungkin! Naufal seorang suami yang baik, tak mungkin dia curang, tak mungkin dia ada perempuan lain selain aku. Mana Naufal?
Kami bertiga tiba di hospital usai solat Maghrib di rumah tadi, belum sempat kami menjamah nasi aku sudah memaksa kak Zie membawaku ke sini. Mana boleh aku bersabar selepas mendengar perkhabaran Naufal kemalangan.
Aku tertidur dalam linangan air mata. Melihatkan keadaan Naufal yang agak teruk dan masih lagi tidak sedarkan diri mana mungkin aku tidak merana. Kata doktor yang merawat suamiku, dia mengalami gegaran otak, ada kecederaan dalaman dan tulang rusuk serta paha kanannya patah.
Hari yang berlalu tidak betah untuk aku duduk menunggu sahaja, helaian demi helaian ayat-ayat suci al-Quran aku lagukan dekat di telinga Naufal. Letih mengaji aku segarkan kembali diriku dengan wudhu’, sembahyang sunat aku dirikan untuk kesekian kalinya. Doa kupohon sudah berulang kali banyaknya.
Sudah dua hari Naufal begini,masih lagi tidak sedarkan diri.
‘Bangunlah abang, hari raya sudah dekat. Farah nak raya dengan abang...ini raya pertama kita bersama bang...Ya Allah, jangan kau ambil dirinya lagi ya Allah..tolong kuatkan aku ya Allah...’
Aku rindu untuk melihat sinar renungannya buatku. Aku rindu untuk mendengar butir bicaranya yang lembut. Aku rindu dengan belaiannya...aku rindu segala-galanya tentang dirinya.
Hari ketiga - Kepalanya masih lagi berbalut besar. Tetapi...aku lihat ada jemarinya yang sedang bergerak-gerak walaupun dalam pergerakan yang sangat perlahan dan sekejap-sekejap cuma. Aku perlahan bisikkan ke telinganya, “Abang, Farah rindu abang...” satu dengusan kecil kudengar dari kerongkongnya, mungkin ada tindak balas daripadanya saat ini.Terima kasih ya Allah! Aku mula mengalunkan ayat-ayat suci al-Quran ditelinganya, semoga kalimah demi kalimah ini mampu menyalurkan kekuatan buat suamiku, insyaAllah.
Aku mampu tersenyum hari ini. Malam tadi Naufal sudah sedarkan diri walaupun keadaannya masih lagi sangat lemah. Kata doktor, keadaan suamiku stabil kerana tiada lagi tanda-tanda pendarahan dalaman tetapi masih lagi perlu kepada pemerhatian lanjut. Balutan di kepalanya juga sudah dibuka, kelihatan kesan jaluran panjang jahitan yang belum sembuh sepenuhnya di hujung dahinya.
Ramai sanak-saudara, rakan-taulan yang sudi menziarahi kami di hospital. Sokongan daripada mereka mampu menjadikan jiwa aku tabah dan bertambah kuat. Doa mereka yang berpanjangan insyaAllah akan ada yang Allah kabulkan.
Hampir 10 hari bermukim dihospital, akhirnya suamiku kembali ke rumah. Syukur tak terucap kerana dapatlah aku kembali menguruskannya dengan lebih baik di sini. Apatah lagi Syawal akan menjelma kurang dari seminggu lagi.
Tangan Naufal aku salami dan tunduk mencium lama. Tidak dapat kubendung airmata yang mula menitis perlahan.Tangisan kegembiraan kerana Allah masih lagi memberi kesempatan untuk kami menyambut Syawal kali ini bersama-sama sebagai suami isteri. Aku lihat matanya juga memerah. Dia mencium dahiku, lalu menarikku dalam dakapannya, erat.
“Terima kasih sayang kerana masih setia disisi abang,” aku tahu Naufal merasa bersalah kerana dia kini tidak lagi sesempurna dulu. Aku tatap wajah bersihnya. Apalah sangat kesempurnaan pada fizikal, yang aku dambakan adalah kasih sucinya yang tulus buatku selama ini hingga ke akhir hayat. Apatah lagi aku isterinya yang sudah tentu menjadi tanggungjawab untuk kami saling melengkapi di antara satu sama lain.
Aku sayang dia sama seperti dahulu. Aku mahu menjadi isterinya yang pertama dan terakhir untuk selamanya. Itulah bukti cintaku kepadanya. Sememangnya cinta itu memerlukan pengorbanan. Aku sanggup berkorban andai begitulah takdirnya kami mahu menggapai syurga dunia ini, semoga pengorbanan ini juga mampu menjadi bekalan kami untuk membina mahligai di syurga yang kekal abadi suatu masa nanti.
“Terima kasih abang kerana sentiasa menyayangi sayang. Sayang bahagia kerana punya suami yang sangat baik untuk sayang selama ni,” pipinya kucium lembut. Kami hanya berdua menyambut Syawal pagi ini. Naufal erat menggenggam jemariku, pandangannya sayu memandangku. Aku faham sangat dengan renungannya itu, dia tetap merasa bersalah kerana kekurangannya kini. Ada kepedihan dalam renungan matanya.
Entah untuk kali yang ke berapa sudah aku meyakinkannya bahawa ujian dan dugaan ini hanyalah untuk sementara waktu sahaja, suatu masa nanti insyaAllah dia akan kembali normal.
“Abang sayang Farah, sayang sangat. Abang minta maaf kerana tidak mampu menjadi yang terbaik buat sayang. Abang sentiasa berdoa semoga hati sayang tidak pernah berubah untuk abang,” lirih benar suaranya bagai seorang yang kecewa dalam hidup. Aku tersenyum.
“Kalau nak jadi yang terbaik buat sayang senang saja...jangan fikir yang bukan-bukan boleh tak?” Aku mencubit manja pipinya. Dia pandang aku. Senyum. “Kitakan suami isteri. Abang juga yang cakap dulu, suami isteri perlu saling melengkapi di antara satu sama lainkan?”Aku tekan suara sikit.
Dia mengangguk. “Terima kasih sayang, semoga sentiasa menjadi syurga buat abang. Mudah-mudahan dengan berkat doa kita bersama abang akan kembali sihat. InsyaAllah tahun depan kita akan punya anak... Nak anak tak?” Aku tergelak kecil.
“Ayang memang dah tak sabar nak mengandung ni. Nak tunggu cek abang sayang sihat je,” aku menyakatnya.
Naufal kembali menunduk. Rasa bersalah pula aku bergurau berlebihan.
“Kesian isteri abang kan...abang tak mampu untuk sempurnakan tuntutan nafkah zahir batin untuk sayang. Abang janji abang akan berusaha untuk kembali sihat sepenuhnya dalam masa terdekat. Abang tak sanggup berterusan melihat sayang menanggung beban semua ini. Tapi abang memang tak mampu. Abang hanya mampu berdoa dan terus berdoa semoga sayang sentiasa setia di sisi abang. Abang sayang Farah...sayang sangat-sangat,” entah kali keberapa Naufal mengucap sayang kepadaku.
“Sayang tahu semua tu...hanya abang yang ada dalam hati sayang ni. Dah banyak kali sayang cakap, jangan fikir yang bukan-bukan ok!” Pahanya aku cubit kuat. Geram.
Memang Naufal kelihatan murung sejak kemalangan tempohari, hanya terperap di rumah sahaja. Lebih-lebih lagi apabila doktor menyarankan supaya dia bercuti selama tujuh bulan sebelum kembali bekerja. Nasib baiklah kami sudah bersegera membuat tuntutan kepada Perkeso untuk mendapatkan pampasan hilang upaya sementara, dapatlah kami menampung mana-mana keperluan yang mendesak.
“Sayang, kak Zie ada bagitau dia nak datang pukul berapa?”
Belum sempat aku menjawab pertanyaannya, sudah kedengaran enjin kereta di hadapan rumah kami. Akucepat-cepat menuju ke pintu hadapan menyambut tetamu untuk sama-sama beraya dengan kami. Wajah-wajah kegembiraan jelas terpancar pada semua tetamu kami. Kami bersalaman dan berpelukan mesra. Terharu rasanya kerana semua adik-beradik kami sudi berkumpul kesemuanya serentak pada hari ini bagi meraikan lebaran bersama.
Naufal tersenyum lebar di atas kerusi rodanya. Berbaju melayu kuning sedondon dengan aku, siap bersampin, dia masih kelihatan kacak walaupun tubuhnya sedikit susut. Dia cuba untuk bergembira hari ini walau mungkin hatinya pilu. Kami sudah berjanji malam tadi untuk meraikan tetamu sehabis baik. Bukan senang untuk kami berkumpul kesemua adik-beradik kedua-dua belah pihak pada satu masa melainkan hari ini. Syukur padaMu ya Allah diatas segala perancanganmu yang maha hebat ini.
Aku tidak betah duduk melayan tetamu yang kesemuanya hampir 50 orang. Tidak mengapa letih asal hatiku puas. Kami makan bersama-sama dengan hidangan sudah disediakan oleh setiap keluarga, janji kami satu keluarga satu hidangan. Nampaknya kami punya lapan hidangan hari ini. Ada roti jala, kuzi, nasi impit, kuah kacang, sate, dan banyak lagilah. Nikmatnya ya Allah!
Semua wajah-wajah kelihatan ceria meraikan lebaran bersama. Anak-anak kecil sibuk berlari ke sana sini, tiba masanya kalut pula beratur untuk mendapatkan duit raya daripada setiap keluarga. Wahh...mewahnya diaorang raya tahun ini.
Menjelang lewat malam barulah kak Zie dan keluarganya beransur pulang. Keluarganya yang terakhir duduk-duduk bicara bersama kami.
“Bersabar Naufal ya...bertuah kamu dapat isteri yang sangat baik,” kak Zie menggenggam erat tanganku menyalurkan kekuatan sementara pandangannya penuh simpati kepada adik bongsunya itu.
“Terima kasih kak kerana banyak bantu kami kebelakangan ni...tanpa akak susah juga Farah nak uruskan saya sorang-sorang,” Naufal tunduk menyalami kakak sulongnya. Kak Zie beberapa kali menepuk-nepuk belakang adiknya memberinya semangat. Memang kak Zie banyak menolong kami terutamanya keperluan dapur. Seminggu sekali mesti ada saja keperluan dapur yang dibelinya untuk kami.
“Kita adik-beradik ni macam nilah...kena saling tolong-menolong...kalau bukan darah daging sendiri yang tolong nak harapkan siapa lagi kan...” kak Zie memeluk Naufal erat. Aku sayu memandangnya.
“Terima kasih kak untuk segalanya...hanya Allah yang mampu membalas segala budi baik akak untuk kami selama ni,” giliran aku pula menyalami kak Zie. Dia senyum sambil menggosok belakangku beberapa kali. Dia tahu saat sukar kami ketika ini.
Akhirnya kak zie dan keluarganya mengundur diri untuk pulang. Tinggal kami berdua kembali mengisi sisa-sisa waktu malam ini bersama. Naufal membuat isyarat meminta aku menolaknya kembali ke ruang utama rumah kami. Aku menghidangkannya segelas air putih suam yang dicampur sesudu madu sebagai bekalannya sebelum masuk tidur. Dia minum perlahan-lahan...entah apalah lamunannya kali ini.
Naufal memandangku, mengukir senyuman penuh erti.
“Terima kasih sayang kerana menerima abang seadanya. Abang akan sentiasa cuba untuk menjadi yang terbaik buat sayang. Abang dah tak de orang lain untuk abang sayang...hanya sayang sorang saja. Abang tahu sayang sanggup lakukan apa saja demi kebaikan abang, hanya doa yang abang pohonkan semoga syurgalah tempat sayang di akhirat nanti.Doakan untuk abang juga ya...semoga kita bahagia bersama di dunia ini dan sejahtera bersama juga di akhirat nanti. Abang terima dengan redha ujian Allah pada Ramadhan yang lalu, dan begitu cepat Allah memberi hikmahnya pada Syawal kali ini. Kita ramai-ramai dapat berkumpul serentak. Alhamdulillah...” Naufal memelukku erat.
TAMAT
Last edited by sarizu on 11-8-2014 03:22 PM
|