Sime Darby Auto Performance (SDAP), pengimport kenderaan Porsche di Malaysia melancarkan dua model terbaru menggunakan varian Gran Turismo Sport (GTS). Dua model baru Boxster GTS dan Cayman GTS itu dilancarkan di negara ini selepas kemunculan pertamanya di Pameran Auto China pada tahun lalu. Kedua-dua itu model itu dibangunkan untuk memuaskan hati peminat kereta sport dan menawarkan pakej berkembar iaitu pemanduan di litar atau sesuai bagi kegunaan biasa. Sebelum ini, GTS mula diperkenalkan pada model 904 GTS Carrera pada 1963 dan menjadi lambang jentera litar lumba yang luar biasa. Bagi generasi terbaru itu, ia tidak hanya menetapkan satu penanda aras sporty dalam segmen berkenaan, malah turut membangkitkan wajah emosi yang kuat. Bagi varian GTS terbaru itu, Porsche menghasilkan dua enjin paling berkuasa yang pernah digunakan dalam pengeluaran Boxster atau Cayman. Kedua-dua enjin itu menggabungkan tork dengan kuasa output yang tinggi . Ia menggunakan enjin enam silinder sebaris 3.4 liter yang sebelum ini dipadankan pada Boxster S dan Cayman S. Bagaimanapun, enjin itu lebih bertenaga dengan peningkatan 15 kuasa kuda Boxster GTS menyalurkan 330 hp, manakala Cayman GTS menyampaikan 340 hp. Tork maksimumnya meningkat sesuai untuk peralihan gear ketika pecutan. Kedua-dua model menggunakan enjin sport pertengahan itu dilengkapi Sport Chrono sebagai ciri standard boleh memecut 0-100 kilometer sejam dalam 4.7 saat bagi Boxster GTS, manakala Cayman GTS pula 0.1 lebih pantas. Dipadankan dengan transmisi manual enam kelajuan, roadster bagi Boxster boleh mencecah kelajuan 281 km/j, manakala sport coupe lebih pantas iaitu 285 km/j. Kedua-dua jentera ini memberikan penggunaan bahan api 8.2 liter bagi setiap 100 km. Sementara itu, imejnya mengikut jejak karakter Panamera GTS dan Cayenne GTS yang tampil watak hadapan dan belakang yang mantap. Selain itu, ia dipadankan lampu utama bi-xenon serta sistem Lampu Dinamik Porsche sebagai ciri standard, selain dilengkapi lampu nyalaan siang LED dengan lingkaran hitam. Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SDAP berkata, kedua-dua model berkonsep GTS itu rentetan daripada 911, Cayenne dan Panamera. “Dan kini giliran Boxster GTS dan Cayman GTS pula yang kedua-duanya memiliki enjin pertengahan jentera sport yang ringan. “Ia memberikan keseronokan kepada pelanggan untuk memandunya pada setiap hari dengan prestasi kereta lumba,” katanya. Porsche Boxster GTS dijual pada harga bermula RM660,000, manakala RM700,000 bagi Cayman GTS tanpa cukai jalan dan insurans.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Julai 2015 @ 5:00 AM
«»
DUA model GTS.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/66159#sthash.AOrNJmKh.dpuf
|