Rumah keluarga pelakon Faye Kusairi diserbu Jais pada awal pagi 10 April lalu, kononnya beliau berkhalwat dengan suami orang di situ. — Foto ihsan Instagram/Faye KusairiKUALA LUMPUR, 19 April ― Pelakon Faye Kusairi mendakwa serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) di rumah keluarganya 10 April lalu tidak mendapat kebenaran pegawai atasan.
Beliau, yang menjadi sasaran serbuan itu, berkata maklumat itu antara pengakuan yang dibuat seorang pegawai Jais dalam satu pertemuannya dengan jabatan itu minggu lalu.
“Bila saya mesyuarat dengan penolong pengarah, dia cakap ketua unit ada telefon, dia beritahu tidak boleh pecah masuk [rumah] tetapi mereka pecah masuk juga.
“Macam mana ini? Tidakkah tindakan itu macam penceroboh?” kata Faye, nama popular Dayangku Faratiwan Adnil Awang Kusairi, ketika dihubungi ProjekMMO semalam.
“Saya kecewa Jais tidak cakap apa-apa. Mereka tidak mahu minta maaf dan nyatakan sebab mengapa.
“Hendak jumpa di mahkamah terus boleh, saya boleh buat [saman] tetapi saya beri peluang sebab mereka bukan badan calang-calang.”
Dalam kejadian kira-kira 2 pagi, Jais menyerbu unit kondominium dupleks keluarganya di Bukit Antarabangsa dekat sini selepas menerima aduan bahawa pelakon itu berkhalwat.
Pelakon itu bagaimanapun tiada di situ kerana tinggal di rumah lain bersama rakan.
Faye, 29, juga mendakwa serbuan penguatkuasa Jais tidak bersama pegawai polis malah kakitangan jabatan itu yang hadir tidak menunjukkan kad kuasa mereka.
Kata pelakon drama “Pujaan Hati Umi” lagi, selepas memotong di jeriji pintu kediaman berkenaan dan masuk rumah, kakitangan Jais terus mencari dirinya dan pasangan.
“Mereka masuk bilik adik saya. Adik saya tanya ‘siapa ini’? Mereka kata ‘kami Jais, nak cari Faye dengan laki orang’.
“Apa etika kerja mereka ini? SOP langgar, bila sudah jadi macam ini, kata ‘no komen’, gila ke apa?” katanya, yang pernah juga berlakon drama “Istikharah Cinta”.
“Tidak ada pihak polis, tidak ada pas, tidak ada baju jabatan, tidak tunjuk kad kuasa pada ayah saya. Main serbu macam itu. Sudahlah serbu, pecah masuk rumah.”
Pelakon drama “Aku Isterinya” itu berkata walaupun insiden itu sedikit sebanyak memberi kesan kepada kerjaya sebagai anak seni, namun apa yang lebih penting nama baik keluarganya.
“Benda ini cemar nama keluarga saya. Saya lagi peduli maruah keluarga saya sebab kerja saya sebagai anak perempuan [kena] jaga martabat keluarga saya,” kata Faye lagi.
“Bila jadi macam ini, orang memang berniat jahat nak burukkan nama saya atau kenakan saya. Secara tak langsung mereka sudah burukkan nama keluarga saya, itu saya tak dapat terima.”
ProjekMMO menghubungi Jais semalam untuk mendapat penjelasan lanjut isu ini, namun seorang pegawai berkata jabatan itu enggan mengulas buat masa ini.