Masakan tidak, selain nilai komersial, naskhah terbabit yang mencipta sejarah sebagai drama bersiri original Malaysia pertama yang bersiaran di iflix, sinematografi dan adegan aksi yang mengagumkan serta dibarisi pelakon berprofil tinggi, karya tersebut juga menjemput persoalan tentang ‘keterbukaan dialog’ yang tidak terpenjara.
Dalam erti kata lain, segala jargon atau istilah khusus berbaur kasar yang kebiasaannya tidak dibenarkan di kaca televisyen atau layar perak tempatan, diberi ‘lampu hijau’ untuk dilontarkan dalam siri berkenaan.
Mengulas persoalan yang tercetus, penerbit drama berkenaan, Syafiq Yusof berkata, meskipun bersiaran secara penstriman iflix dan para pelakon bebas melontarkan dialog yang dianggap sebagai tabu dalam kalangan masyarakat, mereka tetap mempunyai batasan agar tidak berlebihan, sesuai dengan adab orang Timur yang terkenal dengan kesopanan.
“Drama siri ini bersifat lebih berani dan terbuka. Bagaimanapun, kami masih menjaga batas agar tahap ekstrem yang dipaparkan tidak pergi terlalu jauh.
“Kalau kaji kehidupan gengster yang sebenar, bahasa kasar atau sumpah seranah itu memang begitu. Bahasa mereka gunakan perlu ditonjolkan dengan telus agar sampai kepada penonton. Pada masa yang sama, perlu sentiasa menjaga adab kerana negara kita ada banyak bangsa dan pegangan agama,” jelas Syafiq ringkas.
Perkara itu disokong Pengarah Global Program Original iflix, Mark Francis yang tidak menafikan kekuatan drama berkenaan adalah dari segi pembangunan karakter dan jalan cerita yang memungkinkan kesinambungan untuk musim kedua.
“Kita sudah mempunyai idea untuk musim kedua kerana semua karakter dalam drama bersiri ini amat kuat. Saya berharap dengan munculnya drama bersiri Melayu ini di iflix, akan membuka peluang untuk naskhah tempatan yang berkualiti terus berkembang,” tutur Mark.
Stamina Beto
Berbicara dengan barisan pelakon utama KL Gangster Underworld, Beto Kusyairy yang memegang watak sebagai Shah menegaskan, tiada alasan untuk dirinya menolak tawaran berlakon dalam naskhah terbabit.
“Orang selalu bayangkan saya melakonkan watak-watak serius, sedangkan saya bermula dalam industri sebagai seorang pelakon lagak ngeri (stuntman).
“Tiada alasan untuk saya menolak projek ini, bahkan rasa bertuah kerana bekerja dengan sahabat sendiri (pengarah) serta barisan pelakon lain yang menunjukkan komitmen amat tinggi,” tutur Beto, 38.
Mengulas lanjut, cabaran utama untuk Beto menterjemahkan karakter Shah sebaik mungkin adalah dia perlu berperang dengan faktor usia.
“Saya akui, stamina sekarang bukan seperti dahulu. Masalahnya, saya lebih suka melakukan sendiri lagak ngeri kerana itu memang cara saya kerana saya juga seorang stuntman.
“Agak meletihkan tetapi saya gembira kerana dapat melakonkan watak ini. Untuk menjayakannya, saya terpaksa menjalani babak aksi sehingga tiga hingga empat kali sehari selain meminta sedikit tunjuk ajar daripada gangster sebenar,” kata Pelakon Lelaki Terbaik Filem Anugerah Skrin 2015 itu bersahaja.
Dijentik pertanyaan mengenai naskhah tersebut yang sedikit ‘liar’ dengan dialog atau perkataan serta adegan melampau, Beto mempunyai jawapan tersendiri.
Jelasnya: “Naskhah ini tidaklah terlalu terbuka kerana kami masih mengerti norma atau sensitiviti orang Malaysia. Biarpun pasaran naskhah ini secara global, ia adalah produk buatan Malaysia dan dibikin di sini.
“Puas memang puas (dari segi dialog) namun, saya tidak sokong andai ia dipindahkan ke kaca televisyen. Kita banyak isu lain yang memeningkan kepala. Jadi saya tidak mahu industri kreatif menjadi beban ketika keadaan sosial kita yang sudah cukup terganggu dengan pelbagai perkara lain,” getus Beto.
Ezzaty jadi ‘ibu ayam’
Buat pelakon jelita Ezzaty Abdullah, 28, yang diberi peluang melakonkan watak ‘ibu ayam’ bernama Elina, dia mendedahkan banyak belajar daripada rakan-rakannya yang bekerja sebagai jurusolek untuk lebih memahami karakter berkenaan.
“Saya tidak tahu apa akan jadi tanpa bantuan jurusolek di set penggambaran. Saya kira memang watak Elina tidak akan menjadi. Saya amat terhutang budi terhadap mereka yang mengajar saya berjalan serta melontarkan dialog dengan betul,” kata Ezzaty.
Ezzaty yang pertama kali berpeluang membawakan watak sedemikian sebenarnya mempunyai beberapa pantang larang sebelum memberikan persetujuan.
Syarat pertama, dia menolak babak merokok dan kedua, tidak berpakaian terlalu seksi.
“Maaf, saya bukan prejudis tetapi walau apa pun saya memang ada prinsip dalam lakonan iaitu tidak akan menyentuh rokok. Tambahan lagi, sewaktu melakonkan watak dalam drama bersiri ini, saya sedang hamil.
“Berpakaian seksi juga ada batasannya. Saya minta kelonggaran daripada pihak produksi untuk tidak memakai seluar pendek seperti paras seluar dalam kerana tidak selesa.
“Selain itu, kalau ada babak intim atau di ranjang, saya tidak rasa ia keterlaluan dan telah dijayakan dengan baik,” terang isteri pelakon Azwan Kombos itu.
Zahiril mencarut
Pelakon yang memegang watak gangster bernama Adi, Zahiril Adzim pula mendedahkan dia diminta oleh pihak iflix untuk menggunakan kata-kata kasar dan mencarut dalam drama bersiri original terbabit.
Zahiril, 34, berkata, tindakan tersebut bagi menghidupkan watak yang dibawanya sebagai seorang ahli kumpulan gangster.
“Semasa dapat skrip, ada dua hingga tiga ayat mencarut tertulis tetapi saya teragak-agak untuk sebut kerana bahasa tersebut jarang digunakan dalam drama tempatan.
“Kemudian iflix tegur dan minta saya gunakan bahasa kasar dan mencarut dalam drama itu. Saya okey cuma masih jaga batasan,” ujarnya.
Bagaimanapun, katanya, KL Gangster Underworld sebenarnya lebih matang dan ganas berbanding filem-filem aksi yang pernah dilakonkan sebelum ini.
“Dahulu, semasa dalam Kami dan Juvana saya bawa watak jahat tetapi watak budak-budak, bahasa pun masih saya dan awak. Kali ini lebih matang dan ganas. Banyak juga saya merokok dalam drama ini,” ujarnya.
Selain Zahiril, Ezzaty dan Beto, naskhah ini turut dijayakan pelakon-pelakon hebat lain seperti Nabila Huda, Azhan Rani, Hasnul Rahmat dan Dynas Mokhtar.