Edited by boca120879 at 19-9-2022 06:11 PM
Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Diceritakan oleh Muhammad bin Isma'il, diceritakan oleh Abu Nu'aim, diceritakan oleh 'Ubadah bin Muslim, diceritakan oleh Yunus bin Khabbab, daripada Sa'id Ath Tho'i Abu Al Bakhtari, daripada Abu Kabsyah Al Anmari, Rasulullah s.a.w. bersabda,
"Tiga (3) perkara, aku bersumpah atasnya. Dan aku akan mengatakan suatu perkara pada kalian. Hendaklah kalian menjaganya.
1) Tidaklah harta seorang berkurang kerana sedekah.
2) Tidaklah seseorang diperlakukan secara zalim, lalu dia bersabar. Melainkan Allah akan menambahkan kemuliaan untuknya.
3) Dan tidaklah seorang hamba membuka pintu untuk meminta-minta (pada selain Allah). Melainkan Allah akan membukakan pintu kemiskinan untuknya.
Dan aku akan mengatakan suatu perkara pada kalian. Hendaklah kalian menjaganya.
Sesungguhnya dunia itu untuk empat (4) golongan.
1) Pertama, seorang hamba yang dikurnia Allah dengan harta dan ilmu. Dengan ilmu, dia bertakwa kepada Allah. Dan dengan harta, dia menyambung silaturrahim. Dan dia mengetahui Allah memiliki hak padanya. Dan ini adalah kedudukan yang paling baik.
2) Kedua, selanjutnya, seorang hamba yang diberi Allah ilmu tapi tidak diberi harta. Niatnya ikhlas. Dia berkata, "Andai sahaja aku memiliki harta, nescaya aku akan melakukan seperti amalan si fulan (golongan pertama). Maka dia mendapatkan apa yang dia niatkan. Pahala mereka berdua sama.
3) Ketiga, selanjutnya, seorang hamba yang diberi harta oleh Allah. Tetapi tidak diberi ilmu. Dia menggunakan hartanya tanpa ilmu. Dia tidak takut kepada Tuhannya dengan harta itu. Dan tidak menyambung silaturrahimnya. Serta tidak mengetahui hak Allah padanya. Ini adalah kedudukan terburuk.
4) Keempat, selanjutnya, seorang yang tidak diberi Allah, harta atau pun ilmu. Dia berkata, "Andai aku punya harta, tentu aku akan melakukan seperti yang dilakukan si fulan (golongan ketiga). Maka dia mendapatkan apa yang dia niatkan. Dosa mereka berdua sama."
(Hadith Tirmidzi no. 2247)
Nota penting: Untuk pemahaman yang lebih baik, sila rujuk nasihat pakar (ulama, ustaz atau yang setaraf dengannya)
|