|
Kuala Lumpur: Litar Antarabangsa Sepang (SIC) hari ini mengesahkan tidak akan lagi menjadi sebahagian daripada penaja pasukan Sepang Racing Team (SRT) untuk musim akan datang.
Perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif susulan penamatan kontrak syarikat gergasi petroleum Malaysia, Petronas bersama SRT minggu lalu. Azhan atau lebih dikenali dengan panggilan Shaf berkata, ini bermakna SRT selepas ini akan bergerak sendiri di bawah satu entiti berbeza yang mana perkembangan lanjut berhubung pasukan itu akan diumumkan oleh prinsipal pasukan SRT, Datuk Razlan Razali sebelum bermulanya Grand Prix (GP) British di Litar Silverstone pada 27 Ogos ini.
"Kata sepakat sudah dicapai dengan Razlan sudah bersetuju untuk membawa pasukan MotoGP sebagai pasukan bebas dan tidak lagi bersama SIC. Buat masa ini SIC tidak akan ada pasukan baharu dalam saingan MotoGP musim depan bagaimanapun proses untuk penjenamaan semula masih lagi dalam perbincangan.''
"Ini kerana buat masa sekarang, SIC mahu memberi tumpuan kepada Adam (Norrodin) dan Damok (Syarifuddin Azman) untuk tamatkan Kejuaraan CEV Repsol dengan baik," katanya. Ditanya sama ada nama SRT itu akan dikekalkan atau sebaliknya, Shaf berkata, masih belum ada kata putus dari pihak SIC dan SRT.
"Berhubung dengan nama itu, Razlan akan maklumkan nanti. Beliau akan ceritakan untuk pasukannya dengan lebih lanjut lagi nanti. Tapi pada masa ini, ia masih lagi dalam perbincangan sama ada akan dikekalkan nama SRT itu atau tidak," katanya.
Tegas Shaf, SIC tidak akan berhenti untuk menghasilkan lebih banyak bakat muda dalam dunia permotoran yang mana seperti tahun lalu, usaha keras memang sudah dilakukan ke arah itu.
Malah Malaysia antara negara yang paling banyak melahirkan bakat muda berbanding Jepun atau negara Asia Tenggara lain.
"Mungkin satu hari nanti kita akan mula kembali projek untuk ke saingan MotoGP. Tapi sekarang, kita perlu cari bakat peringkat akar umbi dulu seperti memperkukuhkan lagi MiniGp, CEV dan sebagainya.
"Apabila bermula dari bawah ini, mereka nanti akan lebih bersedia untuk berlumba di kejohanan dunia tapi buat masa ini perancangan itu masih jauh lagi," katanya.
Terdahulu, Petronas mengumumkan penamatan kontrak bersama SRT sejak mula menjalin kerjasama pada 2018 dalam saingan Moto2 dan Moto3. Kerjasama erat itu kemudian berkembang dengan menyaksikan mereka melebarkan sayap penyertaan dalam kelas perdana MotoGP menerusi Petronas Yamaha Sepang Racing Team (Petronas Yamaha SRT) pada 2019.
HMetro
|
|
|
|
|
|
|
|
KETUA Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman. |
|
|
|
|
|
|
| |
|