Edited by FanTasyCreaTioN at 10-10-2021 07:06 PM
Pintu masuk negara belum dibuka untuk kemasukan pelancongan asing walaupun rakyat dibenarkan melancong ke luar negara, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Perdana Menteri berkata, kajian mengenai kemasukan pelancong asing sedang berjalan dan hasilnya akan diumumkan dalam tempoh terdekat.
"Saya dapat makluman daripada Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN), kita buka kepada semua negara (pergerakan rakyat untuk melancong) tetapi kita masih belum membuka negara kita untuk pelancong asing setakat ini.
"Kita sedang membuat kajian mengenai kemasukan ini dan insya-Allah kita akan umum dalam waktu terdekat," katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai status negara yang boleh dilawati rakyat susulan kebenaran melancong ke luar negara.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, pintu sempadan negara masih ditutup untuk pelancong asing buat masa ini kecuali atas urusan rasmi, kecemasan dan perniagaan.
"Jadi untuk kemasukan pelancong asing, (pintu sempadan negara) masih belum dibuka. Buat masa ini, Kementerian Kesihatan (KKM) sednag menilai negara-negara yang tidak berisiko langsung (untuk dibenarkan masuk ke Malaysia).
"Jika masih ingat, dahulu kita pernah cadangkan gelembung perjalanan hijau, ada tujuh negara tetapi kita tidak meneruskan sebab ketika itu ada peningkatan kes di negara berkenaan dan negara kita.
"Sekarang, hampir di seluruh dunia dapat memberikan vaksin kepada rakyat mereka dan perkembangan ini akan menjadi pertimbangan kepada KKM untuk membuka sempadan negara kita," katanya.