|
Bhumiband undang Dayang
ARTIS: Bhumiband
JUDUL: Konspirasi Dunia
GENRE: Indie Pop
PATUTLAH rasa macam pernah dengar lagu pada Trek2, Goda. Rupanya lagu ciptaan Eddy, Awi Rafael dan Ard ini turut dimuatkan dalam soundtrack filem Remp-it. Begitu juga Konspirasi Dunia (Trek 5).
Saya lebih beri perhatian pada Goda sebab persembahan mereka pada lagu dan melodinya membangkitkan impak yang menghiburkan. Konspirasi Dunia, pun bagus juga. Ia mendapat sentuhan rock `n' roll dengan kedengaran `barai' macam muzik garaj dan boleh saya layan. Goreng gitarnya pun mantap biarpun sikit old skool.
Oh Kasih, kalau tidak silap dimuatkan dalam album pertama, cuma kali ini ia dijelmakan pula dalam bentuk akustik. Ada juga trek yang berkonsepkan kolaborasi dengan artis Malaysia. Dalam kes ini Dayang Nurfaizah ditampilkan berduet dengan Awi. Bukan tidak sedap tetapi macam tidak kena gaya dengan flow album ini. Tengah elok melayan muzik Indie yang baik, tiba-tiba ada terselit pula duet dalam nada perlahan lagi romantis. Kacau konti namanya.
Untuk Trek yang lebih sederhana rancak nadanya, saya layan Trek1, Perbedaan Hati dan kemudian lari ke Trek7.
Bagi saya untuk kumpulan yang nuansa muziknya banyak mengguna aplikasi kesan khas seperti dari muzik program dan synthesizer, perlu ada bantuan dari pemain keyboards. Masalah akan timbul untuk muzik sebegini terutama apabila membuat live show dan tiada pemain keyboards.
SUMBER : BERITA HARIAN ONLINE |
|