|
Aman Palestin agih sumbangan di Syria sempena Ramadan
Awang Suffian (tengah) ketika sidang media kempen Ramadan Bersama Palestin, Syria, Yaman di Yaman Palestin Berhad Bangi baru-baru ini. - FOTO NSTP/ ROHANIS SHUKRI.
SEPANG: Peserta misi kemanusiaan Aman Palestin berlepas ke Syria malam tadi bagi menjayakan misi 10 hari Ramadan Bersama di negara berkenaan.
Sepanjang tempoh itu, rombongan sukarelawan diketuai Pengurus Jabatan Media dan Dokumentasinya, Ismail Muhammad Juffri, akan mengagihkan bantuan sambil menjalankan khidmat masyarakat di kem didiami pelarian Syria sekitar Al-Bab, Gaziantep, Jarablus dan Azaz.
Ismail berkata, pada misi kali ini, pihaknya menghantar bantuan sumbangan rakyat Malaysia bernilai lebih AS$100,000 (RM422,000) kepada 3,360 keluarga.
Beliau berkata, semua lokasi akan dilawati adalah kawasan projek dibangunkan Aman Palestin sebelum ini, selain misi berkenaan turut disertai Ketua Pegawai Eksekutif Aman Palestin, Awang Suffian Awang Piut.
"Kita akan membuat agihan kotak makanan, sumbangan wang tunai kepada keluarga miskin, penyerahan kerusi roda serta lawatan ke dapur memasak dan persediaan juadah iftar.
"Kumpulan sukarelawan juga akan melawat projek Aman Palestin di Jarablus dan rumah pelajar Himma, selain membuat agihan beg sekolah kepada pelajar Sekolah Aman Palestin," katanya kepada BH.
Ismail berkata, sepanjang tempoh misi semua peserta terpaksa berdepan cuaca sejuk bagi memastikan setiap bantuan sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukan.
Selain itu, katanya, setiap hari peserta terbabit akan turut melaksanakan pelbagai program diaturkan bersama anak-anak pelarian.
"Kami berharap seluruh rakyat Malaysia yang prihatin terhadap pelbagai kesulitan dihadapi saudara seagama kita di Syria akan mendoakan semoga misi kali ini berjalan lancar dan mencapai matlamat," katanya.
Orang ramai yang mahu membantu pelarian Syria dan Palestin boleh menyumbang kepada Aman Palestin menerusi akaun Maybank 562263010787; Bank Islam 12029010047880; CIMB Islamik 8600460353 dan Bank Rakyat 110801001681.
Sumbangan juga boleh disalurkan menerusi akaun RHB 21245760004907; Bank Muamalat 12070005133717; Al-Rajhi 129001170730649; Affin Bank 105240006138 dan Agro Bank 1005561000140016.
https://www.bharian.com.my/berit ... ria-sempena-ramadan
|
|