Pihak berkuasa kesihatan Shanghai didakwa memisahkan ibu bapa dengan anak-anak mereka yang dijangkiti Covid-19.
Lapor Reuters, langkah itu dilakukan bagi memastikan penularan jangkitan dapat dikawal sepenuhnya, selaras dengan polisi sifar Covid-19 yang diamalkan di China.
Penduduk beratur pada hujung minggu lalu untuk ujian Covid-19 di luar hospital Shanghai/Kredit foto: New York Times
Seorang wanita, Esther Zhao menceritakan, dia dan anak perempuannya yang berusia dua tahun setengah dipisahkan selepas mereka dijangkiti Covid-19.
Katanya, anak perempuannya diletakkan di pusat kuarantin kanak-kanak, manakala dia dihantar ke pusat kesihatan.
“Suami saya juga dihantar ke pusat kuarantin yang berbeza. Saya berasa sangat bimbang mengenai keadaan anak saya. Dia masih terlalu kecil untuk dihantar ke pusat kuarantin bersendirian tanpa ibu dan ayah.
“Saya juga tidak diberikan gambar anak saya, jadi saya tidak tahu bagaimana keadaan dia di sana. Saya hampir gila memikirkan anak saya,” luahnya.
Kebimbangan Zhou semakin menjadi-jadi selepas dia melihat gambar kanak-kanak menangis di pusat kuarantin kerena rindukan ibu bapa mereka.
Berdasarkan imej yang dikongsi dalam Weibo dan Douyin, sejumlah kanak-kanak dilihat menangis, manakala sehingga tiga bayi diletakkan dalam satu katil.
Namun, kesemua imej tersebut sudah dipadam daripada media sosial berkenaan hari ini.
Tangan kanak-kanak pada penghadang di kawasan kuarantin di Shanghai/Kredit foto: REUTERS
Perkongsian tersebut mendapat banyak reaksi daripada masyarakat yang mempersoalkan mengapa anak-anak yang positif bersama keluarga perlu dipisahkan dan kenapa tidak menjalani kuarantin bersama?
Selain itu, terdapat juga laporan yang mendakwa bayi seawal usia tiga bulan yang masih menyusu badan juga dipisahkan daripada ibu sekiranya dijangkiti Covid-19.
Setakat ini, pihak berkuasa Shanghai tidak memberi maklum balas mengenai laporan tersebut.
Shanghai ketika ini dikenakan perintah berkurung susulan peningkatan kes jangkitan Covid-19 dan keresahan penduduk ditambah dengan bekalan makanan yang semakin berkurangan.
Sumber: Utusan |