CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 952|Reply: 0

Kesihatan juga urusan agama

[Copy link]
Post time 15-4-2022 11:19 AM | Show all posts |Read mode
Kesihatan juga urusan agama



AKTIVITI sukan menyumbang kepada kesihatan jasmani. FOTO Arkib NSTP


Banyak yang melihat agama hanya daripada sudut amalan kerohanian spiritual seperti solat semata-mata. Tidak kurang yang menganggap agama itu terhad pada amalan yang bersekitar di ruang solat masjid dan surau semata-mata. Tidak ramai yang 'berani' menganggap agama itu adalah keseluruhan kehidupan manusia di dunia ini.

Islam dari dulu lagi didefinisikan sebagai addin iaitu agama kehidupan. Islam tidak perah memisahkan urusan duniawi dengan hal ehwal ukhrawi. Kedua-dua sektor kehidupan yakni dunia dan akhirat diberikan keutamaan sama penting. Dengan kata lain, Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW adalah agama yang menjalani kehidupan di atas muka bumi Allah ini dengan seimbang.

Antara urusan hidup yang sering tidak dianggapnya sebagai urusan agama ialah memelihara dan menjaga kesihatan. Sedangkan Rasulullah SAW semasa hayatnya menunjuk dan menggayakan cara menjalani kehidupan dengan sihat. Banyak kisah dan pesanannya yang menyentuh aspek kesihatan. Hakikat itu membuktikan bahawa urusan menjaga kesihatan antara inti ajaran yang dibawa oleh Rasulullah SAW.

Hinggakan pernah baginda menegaskan sifat leka dan cuai manusia berkenaan kesihatan yang antara lain sabdanya: "Ada dua jenis nikmat yang banyak melekakan ramai manusia iaitu nikmat sihat dan masa lapang." Hadis Riwayat Bukhari

Pentafsiran terhadap gaya hidup umat manusia yang sering lupa itu ternyata benar dan menjadi realiti yang sangat jelas pada hari ini. Apa tidaknya, ketika seseorang itu berada dalam keadaan tubuh yang sihat, segar-bugar, fikiran menjadi 'malas' untuk memikirkan kesan buruk di sebalik salah gaya kehidupan yang pada akhirnya menyebabkan natijah buruk tertimpa diri sendiri.

Tingginya kedudukan urusan menjaga kesihatan itu dapat dilihat melalui penyenaraian keutamaan yang meletakkan kesihatan dan kesejahteraan di tempat kedua selepas keyakinan(iman). Ibnu Majah ada meriwayatkan sebuah hadis yang menyebut bahawa Rasulullah SAW ada bersabda: "Mintalah kepada Allah kesihatan dan kesejahteraan kerana sesungguhnya tidak ada perkara yang lebih baik daripada kesihatan selepas keyakinan(iman)."

Cubalah kita renungkan, apakah natijahnya apabila tubuh badan sudah tidak sihat dan cergas? Mampukah amal ibadat dapat dilakukan dengan sempurna? Bolehkah satu-satu pekerjaan untuk urusan kehidupan duniawi dapat dilangsungkan dengan sebaik-baiknya? Tentu sekali tidak, kan! Jadi, kesihatan adalah 'harta tidak ternilai' harganya yang dikurniakan oleh Allah.

Mungkin disebabkan pelbagai pihak mula sedar dan nampak betapa parahnya kesan kesihatan kepada kelangsungan kehidupan umat manusia, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menjadikan 7 April setiap tahun sebagai Hari Kesihatan Sedunia dan ia juga turut disambut di negara kita.

Bagi tahun ini, tema Hari Kesihatan Sedunia ialah Planet Kita, Kesihatan Kita. Ya, empat patah perkataan sahaja yang terikat dalam frasa tema berkenaan, namun sangat mendalam maksudnya buat pedoman hidup. Selama ini mungkin kita terlepas pandang dan terserong fikir dengan menganggap apa yang kita perbuatkan di atas muka ini tiada kaitan dengan kualiti kesihatan manusia? Nah, lihatlah apa yang telah dan sedang menimpa bumi hari ini.

Tidakkah kita sedang aktif diancam dengan bermacam-macam kerosakan pada ekosistem, pada sistem iklim yang cukup istimewa yang diciptakan Allah untuk kesejahteraan hidup hamba-Nya di atas muka bumi ini. Segalanya bukan sahaja indah, tetapi amat lengkap tanpa cacat.

Allah memberikan amaran awal kepada mereka yang 'gatal tangan' dan 'buas tabiat' dalam memusnahkan sumber alam yang diciptakan-Nya itu. Sudah ada dan mudah pun untuk kit abaca kerana ia terakam dalam kitab suci al-Quran. Belek dan selaklah Surah ar-Rum ayat 41 yang bermaksud: 'Telah berlaku kerosakan di darat dan di laut disebabkan perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian daripada (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar).'

Lihatlah kepada 'paru-paru' dunia iaitu hutan belantara pada hari ini yang semakin tinggal sisa disebabkan kerakusan manusia untuk mengaut keuntungan duniawi, lalu terjadi aneka musibah alam yang bukan sedikit meragut nyawa manusia dan merosakkan harta benda. Namun, dek kerakusan itulah mengakibatkan rasa kebertanggungjawaban bersama memelihara sumber 'paru-paru' dunia untuk kelangsungan generasi mendatang hilang dalam radar pertimbangan akal.

Jadi, elok sangatlah PBB sendiri mengambil langkah proaktif dalam menggerakkan kesedaran masyarakat global termasuk kita semua betapa planet ini adalah rumah tangga yang dikongsi bersama dengan keseluruhan ekosistem yang dibina dengan serba cantik, lengkap dan berfungsi terbaik untuk kehidupan manusia. Kita jaga planet ini daripada pencemaran, bermakna kita jaga kita dalam menjadi satu realiti yang memberi manfaat untuk hari ini, esok dan hari mendatang.

Namun, harapan untuk kita sama-sama menyaksikan seluruh umat manusia menggayakan hidup sebagai keluarga besar planet bumi dirasakan amat tipis memandangkan masing-masing lebih taasub untuk membolot habuan dunia. Malah, di peringkat negara pun dapat kita saksikan bagaimana rancaknya pembangunan yang dibangunkan untuk duniawi yang ada banyak kalinya 'mencederakan' keindahan ekosistem ciptaan Allah.

Kini, kita merasai bahana perbuatan manusia sendiri yang rakus dan tamak dengan dunia bertindak tanpa had dan sempadan dengan munculnya satu fenomena alam baharu iaitu perubahan iklim. Kitaran dan putaran iklim dunia sudah dirosakkan oleh manusia atas hujah pembangunan dan apa yang terjadi hari ini merupakan kesan langsung daripada sikap tersebut yang tidak mahu berfikir - 'Berbuat buruk hari ini, tunggulah kesannya hari esok.'

Selain itu, bumi yang semakin rosak kerana 'dicederakan' oleh tangan manusia juga menyebabkan munculnya pelbagai penyakit misteri yang sebelum ini tidak terjangka oleh akal minda. Ini juga impak buruk sikap manusia yang gagal menjadi Khalifah Allah dalam memakmurkan dan mensejahterakan planet kita diami ini.

Penulis Pensyarah Kanan Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Politeknik Muadzam Shah

Sumber:https://www.hmetro.com.my/addin/ ... n-juga-urusan-agama

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

28-11-2024 04:21 PM GMT+8 , Processed in 0.053120 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list