Kuala Lumpur: Bimbang dengan isu pusat penyembelihan yang meragukan di Australia, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Pertubuhan Kemasyarakatan Rakyat (Pekemas) dan Sahaba 99 meminta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) melakukan siasatan segera.
Ia membabitkan isu sembelihan yang didakwa tidak mengikut piawaian ditetapkan dalam Islam yang berlaku di Australia lebih sebulan lalu.
NADZIM. FOTO Arkib NSTP
Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya menerima banyak aduan mengenai pelanggaran protokol penyembelihan digariskan prosedur operasi standard (SOP) Jakim.
Katanya, pihaknya menggesa siasatan menyeluruh dilakukan dengan kadar segera oleh pihak berautoriti termasuk Jakim, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis serta merombak struktur organisasi bahagian halal terutama jawatan panas.
"Kita sudah merdeka lebih 60 tahun, takkan kita nak tengok isu seperti ini berlaku setiap tahun. PPIM menerima banyak aduan mengenai isu ini, sebelum ini kartel daging, kali ini pusat sembelihan pula," katanya pada sidang media hari ini.
Hadir sama, Presiden Pekemas, Faizan Mohd Noor dan aktivis PPIM Vince Focarelli.
Sementara itu Faizan berkata, pihaknya tampil dengan pendedahan itu demi kebaikan dan kemaslahatan umat Islam di Malaysia dan meminta pihak berkuasa untuk mengambil tindakan yang sewajarnya ke atas pelaku yang melanggar integriti Halal Malaysia.
"Isu ini belum lagi mendapat pendedahan dan liputan yang sewajarnya di Malaysia.
"Ada tiga hingga empat pegawai yang terbabit dalam urusan pusat sembelihan di Australia. Mereka ini perlu diambil tindakan kerana tidak mengambil tindakan di atas pelanggaran protokol yang berlaku.
"Ini isu halal dan kita tidak boleh main-main. Hanya beberapa orang ini saja yang menimbulkan masalah, Jakim perlu ambil tindakan," katanya yang mendedahkan isu ini lebih sebulan lalu.
Pada sidang media yang diadakan itu bersama saksi dari Sydney, Australia, media ditunjukkan video bagaimana pelanggaran protokol yang dimaksudkan yang dirakam saksi di negara terbabit.
Kelihatan beberapa ekor biri-biri yang direndam sehingga lemas di dalam gumpalan darah.
Selain itu, pusat sembelihan itu juga kotor dan terdapat anjing liar di sekitarnya, mengundang persoalan mengenai tahap kebersihan di situ.
Pada 14 April lalu, Jakim dalam satu kenyataan berhubung isu berkenaan berkata, pihaknya sudah meminta penjelasan daripada Supreme Islamic Council Of Halal Meat In Australia Inc (SICHMA) dan mendapati pusat sembelihan berkenaan mematuhi keperluan standard penyembelihan halal di negara ini.
SICHMA kemudiannya memberikan penjelasan dan menafikan dakwaan ketidakupayaan organisasi itu dalam membuat pengesahan halal ke atas rumah sembelihan di bawah seliaan mereka.