|
APABILA kita berbicara mengenai tindakan dan masa untuk menyelesaikan masalah, ianya memerlukan kepada kewarasan dan keadilan. Jika kita melihat kembali konsep ini melalui sirah Rasulullah SAW, kita akan melihat contoh yang nyata ditunjukkan oleh Allah SWT sebagai pedoman kepada manusia.
Rasulullah SAW berdepan secara langsung dan nyata masalah masyarakat jahiliyah; meminum arak dan berzina yang menjadi kebiasaan bagi mereka. Allah SWT Tuhan sekalian alam, sudah tentu murka akan keadaan itu. Maka diutus seorang Rasul, membawa solusi kepada seluruh manusia sepanjang zaman.
Akan tetapi, proses yang diambil bukan sekejap, 23 tahun masa diambil untuk menyempurnakan proses menyelamatkan manusia dengan Islam yang benar. Kerana masalah besar, perlu melalui proses penyelesaian yang juga panjang masa serta tindakannya.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Mohd Amar Nik Abdullah, dalam kuliah beliau di Medan Ilmu pada Jumaat lepas, sekali lagi mengingatkan rakyat bahawa punca sebenar masalah air di Kelantan. Ia angkara Umno yang menzalimi Kerajaan PAS Kelantan dengan tidak memberikan peruntukan sewajarnya untuk menangani masalah air. Ini bukan alasan, ini adalah faktor yang relevan.
Jika dikaitkan dengan perspektif sirah Rasulullah SAW di atas, kita melihat persamaan adalah kepada punca kepada masalah. Masyarakat jahiliyah tidak mengamalkan agama yang benar, maka mereka tenggelam dalam masalah besar.
Umno juga begitu, dengan tidak bertindak mengikut akhlak Islam yang sebenar, mereka menafikan hak negeri Kelantan. Mereka memaksa Kerajaan Kelantan berhadapan dengan masalah yang besar.
Juga sebagaimana Rasulullah SAW memerlukan masa panjang, begitu juga Kerajaan Kelantan memerlukan masa yang tidak singkat. Jika puluhan tahun dizalimi, mana mungkin masalah diselesaikan dengan mudah dan cepat. Ini logik mudah dari akal yang waras.
Peluang terakhir musuh politik PAS
Kita melihat kesungguhan musuh politik PAS dalam memanipulasi isu ini adalah kerana mereka sedar akan berhadapan PRU tidak lama lagi.
Ini kerana sebagaimana yang ditekankan oleh Menteri Besar Kelantan, Dato’ Bentara Kanan Ustaz Ahmad Yakob, bahawa penukaran paip dijangka siap sepenuhnya secara berperingkat berdasarkan Pelan Induk AKSB 2021-2030.
Begitu juga dengan pembinaan loji-loji yang telah diterangkan dalam artikel bertajuk “Bersohor siap satu loji air di Kelantan?” disiarkan di HarakahDaily menyenaraikan tahap ‘progress’ dalam pembinaan loji-loji baharu di Kelantan.
Musuh politik PAS sedar bahawa jika rakyat Kelantan mengekalkan PAS sebagai kerajaan dalam PRU15 akan datang, maka menjelang PRU16 mereka akan kehabisan modal politik untuk dijadikan peluru menentang Kerajaan PAS Kelantan.
Atas sebab inilah, dalam kuliah pada Jumaat lepas, Dato’ Mohd Amar melontarkan soalan yang ringkas tetapi penting kepada seluruh rakyat untuk menilai: “Adakah jika bertukar kerajaan, maka kerajaan baharu mampu menyelesaikan masalah ini serta merta?”
Jika sama sahaja, maka apa guna menukar kerajaan yang menggunakan dasar Islam kepada kerajaan yang tidak menggunakan dasar Islam? Sedangkan kita telah melihat pedoman dari sirah Rasulullah SAW di atas bahawa masalah manusia ini berpunca dari hakikat meninggalkan ajaran agama.
Dalam kuliah yang sama, Dato’ Mohd Amar bertanya jika Umno menyatakan mereka ingin melaksanakan Islam yang lebih baik di Kelantan, di mana bukti mereka boleh tunjukkan dari negeri-negeri di bawah pentadbiran mereka?
Pengundi yang bijak mesti mengambil tauladan dan pengajaran dari Surah Al-Isra’, ayat 11: “… dan manusia itu bersifat tergesa-gesa”.
Ketahuilah bahawa masalah air di Kelantan tetap akan selesai, dan buktinya nyata dengan melihat kepada pelan dan ‘progress’ sedang berjalan.
Malang bagi kita, jika kerana tergesa-gesa, ingin mengangkat kerajaan yang hanya omong kosong tiba-tiba sekadar di mulut kononnya hendak melaksanakan Islam, sedang mereka juga tetap memerlukan masa untuk menyelesaikan isu ini.
Atas faktor-faktor inilah, kita yakin bahawa rakyat Kelantan yang masyhur dengan kebijaksanaan dalam berpolitik, akan mengekalkan Kerajaan PAS di Kelantan. Meyakini bahawa kerajaan yang bertakwa, akan diberikan jalan keluar oleh Allah dalam setiap permasalahan.
Berpegang teguh dengan ayat 2 dari surah At-Talaaq: “Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah, maka Allah akan jadikan baginya jalan keluar”.
MUHAMMAD NABIL ZULKIFLI
Darulnaim Research Centre
https://harakahdaily.net/index.php/2022/06/18/air-kelantan-musuh-politik-pas-bimbang-menghitung-masa/
|
|