CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 867|Reply: 0

Doa rumah tangga bahagia

[Copy link]
Post time 24-10-2022 12:25 PM | Show all posts |Read mode
Doa rumah tangga bahagia




KEHARMONIAN rumah tangga dalam suasana sakinah, mawaddah dan rahmah apabila suami isteri saling menunaikan hak dan kewajipan selaras dengan tuntutan agama.


Tujuan utama perkahwinan dalam Islam adalah supaya suami dan isteri dapat melaksanakan kewajipan dan peranan secara adil dan saksama bukannya untuk menyakiti dan menganiayai pasangan. Justeru tanggungjawab untuk berlaku adil dalam melayari bahtera rumah tangga diperingatkan oleh Allah SWT melalui firman-Nya di dalam al-Quran Surah Al-Nisa' ayat 3 yang bermaksud: "Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu berkahwin dengan mereka), maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan daripada perempuan-perempuan (lain): dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman."

Perkahwinan yang dijalinkan melalui akad nikah yang sah di sisi syarak hadir bersama syarat-syarat yang wajib ditunaikan oleh suami dan isteri. Walaupun ajaran Islam membenarkan perkahwinan melebihi daripada seorang isteri, kebenaran tersebut berasaskan maslahah agar kaum lelaki memelihara diri daripada hubungan yang terlarang dan kebajikan bagi kaum wanita yang dikahwini terjamin dengan penekanan terhadap aspek keadilan dalam sesebuah perkahwinan.

Perkahwinan sebenar yang dibina berlandaskan syariat akan mendidik individu membangunkan sifat kepemimpinan, memupuk kebersamaan dalam menghadapi cabaran, kematangan dalam membuat keputusan, melatih sifat sabar serta saling membantu dalam mencari nafkah untuk keluarga. Sebuah perkahwinan yang diredai oleh Allah SWT merupakan ikatan kekeluargaan yang kukuh dan berkekalan berteraskan kasih sayang dan rahmat Allah SWT.

Seorang Muslim  wajib berlaku adil kepada suami atau isteri dengan melaksanakan tanggungjawab dan kewajipan masing-masing sama ada keperluan fizikal, mahar, nafkah, pergaulan yang baik, bimbingan agama, nasab keturunan dan lain-lain. Firman Allah dalam al-Quran surah Al-Baqarah ayat 233 yang bermaksud: "dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya. Tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya."

Di dalam Surah Al-Nisa' ayat 19 Allah SWT juga berfirman yang bermaksud "Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu (merasai) benci kepada mereka (disebabkan tingkah-lakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya), kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu)."

Seorang suami hendaklah menyantuni para isteri dengan penuh kemesraan agar dapat menyuburkan perasaan kasih sayang antara satu sama lain sebagaimana contoh yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dalam kehidupan berumah tangga. Sabda Nabi Muhammad SAW dalam sebuah hadis yang bermaksud: "Sebaik-baik kalian adalah yang paling baik terhadap keluarganya dan aku adalah yang terbaik terhadap keluargaku…" (Riwayat Tirmizi)

Kaum wanita pula wajib berlaku adil kepada suami sebagaimana pernah ditanyakan kepada Rasulullah SAW yang bermaksud "Siapakah wanita yang paling baik?" Jawab baginda, "Iaitu yang paling menyenangkan jika dilihat suaminya, mentaati suami jika diperintah dan tidak menyelisihi suami pada diri dan hartanya sehingga membuat suami benci." (Riwayat An-Nasa'i)

Keharmonian rumah tangga dapat dinikmati dalam suasana  sakinah, mawaddah dan rahmah  apabila pasangan suami isteri berlaku adil iaitu saling menunaikan hak dan kewajipan selaras dengan tuntutan agama dan kesepakatan bersama. Dalam hal tersebut, Allah SWT menyifatkan hubungan suami isteri umpama pakaian sebagaimana firmanNya dalam Surah Al-Baqarah ayat 187 yang bermaksud: "Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka." Pakaian yang baik tidak semestinya ditentukan daripada bahan buatan yang mahal, tetapi kerana faktor individu yang bijak menggayakannya sesuai dengan tempat dan masa. Begitu juga pasangan suami isteri yang perlu meletakkan pasangannya mengikut fungsi dan peranan masing-masing agar keadilan dalam rumah tangga dapat ditegakkan.

Lafaz taklik yang dibacakan oleh seorang suami selepas akad nikah menjadi bukti komitmen dalam sesebuah perkahwinan serta jaminan yang diberikan oleh Islam terhadap kebajikan wanita sebagaimana contoh lafaz taklik di Wilayah Persekutuan iaitu "Bahawa adalah saya mengaku apabila tinggalkan isteri saya (nama) selama empat bulan Hijrah berturut-turut atau lebih dengan sengaja atau paksaan dan saya atau wakil saya tidak memberi nafkah kepadanya selama masa yang tersebut pada hal atau saya melakukan sebarang mudarat kepada tubuh badannya kemudian ia mengadu kepada Mahkamah Syariah dan memberi kepada Mahkamah Syariah yang menerima bagi pihak saya satu ringgit maka pada ketika itu tertalak ia dengan cara talak khulu."

Oleh itu marilah kita berdoa sebagaimana yang disarankan dalam al-Quran Surah Al-Furqan ayat 74 yang bermaksud: "Dan juga mereka (yang diredai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh daripada isteri-isteri dan zuriat keturunan kami, perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa."

Laksanakanlah urusan pernikahan mengikut ketetapan dan saluran yang betul dengan mematuhi prosedur dan undang-undang yang ditentukan agar maslahah semua pihak terpelihara. Perkahwinan yang dilaksanakan dengan tidak mengikut lunas undang-undang akan menyusahkan banyak pihak dan memberikan kesan buruk kepada individu, keluarga serta masyarakat. Dalam konteks Wilayah Persekutuan, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) akan terus komited memastikan undang-undang dan peraturan berkaitan pernikahan umat Islam dapat dipatuhi dengan sebaik-baiknya oleh masyarakat agar lahir keluarga yang sejahtera.

Penulis Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi)

Sumber:https://www.hmetro.com.my/addin/ ... umah-tangga-bahagia

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

28-11-2024 04:37 PM GMT+8 , Processed in 0.474937 second(s), 17 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list