CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 863|Reply: 0

Kejar kebajikan raih keredaan

[Copy link]
Post time 24-10-2022 12:26 PM | Show all posts |Read mode
Kejar kebajikan raih keredaan


PERSAINGAN dituntut Islam ialah persaingan berorientasikan kecemerlangan hidup di dunia dan kebahagiaan hidup di akhirat. FOTO Arkib NSTP



Amalan dalam Islam terbahagi kepada dua iaitu amalan kebajikan dan amalan kemungkaran. Amalan kebajikan dalam Islam mempunyai pengertian dan ruang lingkup luas dalam kehidupan manusia. Ia bukan sekadar amalan berbentuk syiar ibadat seperti solat, puasa, zakat dan haji. Malah, amal kebajikan merangkumi amalan kebaikan sesama manusia yang diberi ganjaran setimpal oleh Allah Taala. Manakala amalan kemungkaran ialah segala amalan keji ditegah Allah kepada umatnya kerana mendatangkan mudarat dan akibat buruk pada individu, agama, bangsa dan negara. Justeru, amalan mungkar juga dibalas setimpal dengan kemungkaran yang dilakukannya.

Perlu ditegaskan amalan kebajikan dalam Islam tertegak atas dua paksi iaitu paksi menegak yang membawa maksud hubungan yang terjalin antara hamba Allah dengan Khaliqnya dalam melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Paksi kedua pula ialah paksi mendatar yang menyaksikan hubungan sesama manusia dalam seluruh aspek kehidupan mereka yang ditegakkan atas dasar persaudaraan dan hubungan kasih sayang, bahkan kalau perlu lebih mengutamakan kepentingan orang lain seperti contoh teladan yang ditunjukkan sahabat r.a.

Pendek kata, apa sahaja amalan soleh dan kebaikan antara sesama manusia termasuk dalam pengertian amal kebajikan. Begitu juga amalan buruk dan keji yang bertentangan dengan nilai-nilai agama, maka ia termasuk dalam pengertian amalan kemungkaran.

Sahabat Rasulullah terkenal dengan sifat gemar berlumba-lumba dan bersaing antara satu sama lain dalam melakukan amalan kebajikan. Pernah satu ketika, Rasulullah mengumumkan negara memerlukan dana besar untuk membiayai ekspedisi tentera dalam Perang Tabuk untuk melawan kerajaan Romawi. Mendengar pengumuman itu, Umar al-Khattab terus menginfakkan sebahagian harta kekayaannya. Abu Bakar yang terkenal dengan sifat dermawannya tidak ketinggalan menyahut seruan jihad terbabit, malah menjadi orang pertama menyumbangkan 4,000 dirham atau hampir seluruh harta kekayaannya. Oleh kerana jumlah disumbang terlalu banyak, Rasulullah terus bertanya: Apakah yang kamu tinggalkan untuk keluargamu, wahai Abu Bakar? Jawab Abu Bakar: Cukuplah Allah dan Rasul-Nya. Mengetahui akan hal ini, lantas Umar al-Khattab berkata: Setiap kali aku bersaing sedekah dengan Abu Bakar, dia pasti menang!.

Demikian teladan ditunjukkan sahabat yang mempamerkan contoh persaingan sihat dan positif sesama mereka. Mereka tidak pula saling mendengki, saling menjatuhkan antara satu sama lain, sebaliknya membantu ke arah kebajikan demi meraih keredaan Allah dan kebahagian hidup di dunia dan akhirat.

Seterusnya, Islam menganjurkan umatnya bersaing atau berlumba-lumba dan bersegera mengejar amalan kebajikan. Ini selaras dengan perintah Allah lewat firman-Nya yang bermaksud: Dan kalau Allah mengkehendaki nescaya Dia akan menjadikan kamu satu umat (yang bersatu dalam agama yang satu), tetapi Dia hendak menguji kamu (dalam menjalankan) apa yang telah disampaikan kepada kamu. Oleh itu, berlumba-lumbalah kamu membuat kebaikan (beriman dan beramal soleh). Kepada Allah jualah tempat kembali kamu semuanya, maka Dia akan memberitahu kamu apa yang kamu berselisihan padanya. (Surah Al-Maidah, ayat 48)

Jelas daripada maksud ayat di atas Islam menggalakkan umatnya berlumba-lumba, bersaing dan bersegera dalam melakukan amalan kebajikan yang dianjurkan Islam. Persaingan dianjurkan Islam itu dengan matlamat memakmurkan kehidupan ummah, meningkatkan kesejahteraan masyarakat dan memperbaiki kualiti amalan kebajikan. Persaingan dituntut Islam ialah persaingan berorientasikan kecemerlangan hidup di dunia dan kebahagiaan hidup di akhirat. Persaingan sihat ini bertepatan dengan maksud firman Allah yang bermaksud: Dan hendaklah kamu tolong-menolong untuk membuat kebajikan dan bertakwa dan janganlah kamu bertolong menolong pada melakukan dosa maksiat dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya). (Surah Al-Ma'idah, ayat 2)

Ini bentuk persaingan dan perlumbaan digalakkan Islam kepada umatnya. Amat menyedihkan umat Islam dewasa ini tersalah tafsir konsep persaingan dianjur Islam sehingga ada segelintir sanggup melakukan kezaliman dan penindasan terhadap saudaranya sesama Muslim. Dalam bidang perniagaan sebagai contohnya, ada sebahagian umat Islam yang sanggup menjatuhkan dan melumpuhkan kegiatan perniagaan saudaranya sendiri. Dia tidak senang melihat saudaranya mengaut lebih banyak keuntungan daripadanya, lantas dia terus bertindak zalim menjatuhkan perniagaan saudaranya itu.

Begitu juga dalam bidang politik yang menyaksikan persaingan sengit antara pemimpin untuk mengekalkan atau merebut sesuatu jawatan dalam kepimpinan masyarakat sehingga melumpuhkan dan meretakkan semangat perpaduan antara umat Islam. Yang penting baginya, dia dapat memegang tampuk kuasa kepimpinan untuk kepentingan dirinya sedangkan kuasa kepimpinan dalam Islam adalah satu amanah dan tanggungjawab yang cukup besar yang akan dipersoalkan oleh Allah pada hari akhirat kelak.

Dalam bidang pekerjaan, kedapatan juga orang Islam yang berlumba-lumba kerana terikut sifat tamak haloba dalam mengejar harta kekayaan sehingga membolot semuanya untuk diri sendiri tanpa ambil kira keperluan golongan yang amat berhajat. Akhirnya, dia terperangkap dalam fitnah harta yang boleh melalaikan dan melupakan seseorang manusia kepada pemberi sebenar nikmat terbabit iaitu Allah.

Begitu antara fenomena persaingan negatif dan perlumbaan tidak sihat yang berlaku dalam masyarakat Islam kini. Padahal persaingan yang tidak sihat akan membantutkan matlamat sebenar Islam untuk memakmurkan kehidupan ummah dan mewujudkan keharmonian sosial sesama umat manusia.

Sehubungan itu, Islam pada hakikatnya mengharuskan persaingan dalam kalangan umatnya dalam apa juga lapangan hidup, tetapi biar persaingan terbabit berlaku secara sihat, baik dan aman dengan tujuan untuk meraih maslahah, kebaikan, kesejahteraan, kebahagiaan dan ganjaran berlipat ganda yang disediakan oleh Allah. Malah, persaingan dan perlumbaan yang mewarnai pentas kehidupan alam maya ini dilakukan untuk memanfaatkan segala limpahan rahmat yang dikurniakan Allah kepada umatnya.

Oleh itu, setiap Muslim sewajarnya bersaing dan bersegera melakukan kebaikan dan kebajikan kerana setiap insan pasti menghadap Allah apabila sampai masanya nanti. Kesempatan hidup di dunia hanya sekali sahaja, maka rebut peluang hidup ini dengan beramal sebanyak mungkin untuk berbahagia di dunia dan akhirat.

Penulis Dekan Pusat Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Sumber:https://www.hmetro.com.my/addin/ ... jikan-raih-keredaan

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

28-11-2024 04:28 PM GMT+8 , Processed in 0.129677 second(s), 14 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list